BANGI, 20 Mac (Iteenews) –IOI Properties Group Bhd (IOIPG) memperkenalkan Bangi Fresco, evolusi seterusnya bagi perbandaran Bandar Puteri Bangi yang terkenal, sekali gus meningkatkan lagi landskap gaya hidup di Lembah Klang Selatan dengan hab runcit baharu yang dinamik.
Bangi Fresco, berkeluasan 4.98 hektar, menampilkan ruang runcit terancang 100,000 kaki persegi dengan 24 unit kedai, lima kedai makan pinggir air, empat kedai pandu lalu, dan ruang pengusaha pasar raya 19,000 kaki persegi yang terancang.
Lokasi itu juga akan menempatkan dewan acara seluas 10,000 kaki persegi dan pusat sukan,sekali gus menawarkan destinasi gaya hidup sehenti dan keperluan.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan IOIPG Teh Chin Guan berkata Bangi Fresco menyusuli kejayaan pusat beli-belah jalanan Sierra Fresco di 16 Sierra, Puchong Selatan.
“Bangi Fresco, yang memenuhi pertambahan penduduk Bandar Puteri Bangi dan komuniti sekitarnya, menawarkan rangkaian lengkap kemudahan runcit dan gaya hidup.
“Hab runcit ini akan dimiliki oleh IOIPG dan diuruskan oleh pasukan pajakan kami yang memenangi anugerah,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Bangi Fresco di sini, hari ini.
Beliau berkata Bangi Fresco direka untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pilihan tempat makan gaya hidup mewah dan runcit di kawasan itu, yang kini didominasi oleh tawaran kelas pertengahan.
“Kami melabur lebih RM30 juta untuk mencipta pengalaman pusat beli-belah jalanan yang dikurasi, menggabungkan ruang runcit terbuka berbumbung yang menggalakkan pencahayaan semula jadi, pengudaraan, aliran dan mesra pejalan kaki.
“Walaupun perbincangan masih diteruskan, kami menyasarkan pasar raya kelas atas, gimnasium gaya hidup dan pengendali ruang acara untuk mengukuhkan campuran penyewa kami, dengan sasaran penghunian penuh apabila siap,” katanya.