IILM Terbitkan Semula Sukuk Jangka Pendek US$1.14 Bilion

38d6675bf093c5d9c1b5e118c65d84b15f032fd0023b9

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Iteenews) — Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) menyelesaikan terbitan semula agregat US$1.14 bilion (US$1=RM4.1530) untuk sukuk jangka pendek, masing-masing bagi tempoh satu, tiga dan 12 bulan.

Dalam kenyataan hari ini, IILM berkata tiga siri sukuk itu berharga kompetitif pada 4.90 peratus bagi US$490 juta untuk tempoh satu bulan; 4.80 peratus bagi US$430 juta untuk tempoh tiga bulan; dan 4.15 peratus bagi US$220 juta untuk tempoh 12 bulan.

Menurutnya terbitan semula sukuk terkini ini menandakan lelongan ke-11 IILM bagi tahun ini, serta kali ketiga bagi tempoh 12 bulan yang ditawarkan pada 2024.

“Terbitan semula sukuk ini menyaksikan tender yang kompetitif dalam kalangan peniaga utama dan pelabur dari pasaran di seluruh Majlis Kerjasama Teluk dan Asia, dengan gabungan nilai perolehan kontrak melebihi US$2.43 bilion, menjana purata nisbah bida kepada perlindungan sebanyak 213 peratus,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif IILM Mohamad Safri Shahul Hamid berkata hasil lelongan terkini itu menyaksikan permintaan yang kukuh terhadap kertas Islam jangka pendek dan nisbah bida kepada perlindunganuntuk ketiga-tiga tempoh.

"Sukuk jangka pendek IILM terus tampil antara penyelesaian pengurusan mudah tunai Islam yang lebih dipilih banyak institusi global yang berminat dengan instrumen patuh Syariah," katanya.

Katanya setakat ini pada tahun ini, IILM telah menerbitkan sukuk berjumlah keseluruhan US$10.51 bilion untuk 33 siri sukuk.

Menurutnya terbitan itu membentuk sebahagian daripada program terbitan sukuk jangka pendek IILM bernilai US$6 bilion yang diberi penarafan “A-1” (S&P Global Ratings) dan “F1” (Fitch Ratings).

Jumlah sukuk terkumpul IILM kini berjumlah US$4 bilion, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *