Kredit: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)
KUALA LUMPUR, 21 Mac (Iteenews) — Hotayi Electronic (M) Sdn Bhd mengadakan majlis pecah tanah bagi pengembangan kilang pintar fasa ketiga bernilai RM500 juta di Batu Kawan, Pulau Pinang, yang dijangka melahirkan 1,000 pekerjaan baharu berkemahiran tinggi.
Kemudahan itu akan meliputi 380,000 kaki persegi dan direka untuk menggabungkan automasi termaju, analitik dipacu kecerdasan buatan (AI) dan proses menggunakan Internet Pelbagai Benda (IoT), yang memperkukuh kepimpinan syarikat dalam pembuatan pintar.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang merasmikan majlis pecah tanah itu menghargai komitmen berterusan Hotayi Electronic kepada negeri berkenaan.
"Sejak penubuhannya pada 1992, Hotayi Electronicterus melabur menerusi operasi di sini.
“Pencapaian penting hari ini menggariskan keyakinan syarikat terhadap ekosistem perindustrian kukuh Pulau Pinang yang membolehkan syarikat itu berkembang maju," katanya dalam kenyataan bersama hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pengembangan Hotayi Electronic memperlihatkan peningkatan Malaysia dalam pembuatan berteknologi tinggi.
“Pengembangan ini bukan sahaja memacu inovasi dan pembuatan pintar malah turut mengukuhkan ekosistem perindustrian yang lebih luas, menyokong rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan dan cekap.
“MIDA kekal komited untuk mempermudah pelaburan strategik seperti ini, memastikan mereka mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat Malaysia, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pembangunan bakat,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Hotayi Electronic Datuk Goh Guek Eng berkata pengembangan itu menandakan kejayaan besar syarikat.