KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Iteenews) — Penganjur bersama rasmi Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025, Global Exhibitions & Conferences Sdn Bhd (GEC) mengumumkan perkongsian strategik dengan National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO) Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, GEC berkata kerjasama ini bertujuan memanfaatkan kekuatan kedua-dua pihak untuk memacu inovasi, memperluaskan jangkauan pasaran dan memberikan nilai tambah kepada pemain industri aeroangkasa.
“Sebagai sebahagian daripada pakatan strategik ini, GEC dan NAICO Malaysia akan bekerjasama terhadap inisiatif untuk memperluaskan jangkauan LIMA kepada rakan tempatan dan luar negara kedua-duanya,” katanya.
Pengarah Urusan GEC Abd Hafiz A Bakar berkata kerjasama ini sesuai dengan matlamat strategiknya, membolehkan kedua-dua pihak menggabungkan pengalaman dan sumber untuk menghasilkan penyelesaian baharu.
“NAICO Malaysia mempunyai rekod yang terbukti cemerlang untuk bertindak sebagai titik fokus bagi pihak berkepentingan sektor aeroangkasa, kementerian dan agensi kerajaan yang sesuai, universiti, dan institut penyelidikan untuk bekerjasama meningkatkan kecekapan dan keupayaan industri penerbangan tempatan,” katanya.
Menurut GEC, perkongsian strategik ini akan bermula hari ini, yang menyaksikan kedua-dua syarikat terlibat dalam mempromosikan LIMA 2025 sebagai asas perkongsian.
“Kerjasama ini menekankan komitmen GEC kepada inovasi dan pertumbuhan serta mengukuhkan komitmen NAICO Malaysia untuk memberi nilai luar biasa kepada pemain industri aeroangkasa,” katanya.
— BERNAMA