KUALA LUMPUR, 5 Nov (Iteenews) –Gagasan Nadi Cergas Bhd bercadang untuk mengambil alih konsesi pengurusan aset asrama pelajar bernilai RM185 juta.
Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Wan Azman Wan Kamal berkata pemerolehan strategik itu akan mengukuhkan operasi pengurusan fasiliti kumpulan yang sentiasa menjadi kekuatan utamanya, memberikan aliran pendapatan berulang yang stabil dan mantap.
Gagasan Nadi Cergas akan menjalankan langkah korporat bagi mendapatkan kawalan penuh ke atas Konsortium PAE Sepakat Sdn Bhd (KPSSB) yang memiliki konsesi pengurusan fasiliti kemudahan asrama pelajar di tujuh kampus politeknik dengan mengambil alih dua pemegang saham dalam KPSSB iaitu Serata Ehsan Sdn Bhd (SESB) dan Seri Delima Anggun Sdn Bhd (SDASB).
Syarikat itu melalui satukenyataan hari iniberkata pengambilalihan KPSSB akan mengembangkan asas pendapatan serta pendapatan kumpulan dalam segmen itu melalui pendapatan mampan dan aliran tunai yang dijana daripada konsesi di bawah KPSSB.
SESB, melalui anak syarikat milik penuhnya, PAE Builders Sdn Bhd, memegang 44.4 peratus kepentingan ekuiti dalam KPSSB, manakala baki 55.6 peratus kepentingan adalah dipunyai SDASB.
Langkah korporat yang dicadangkan memerlukan Gagasan Nadi Cergas menandatangani dua perjanjian jual beli bersyarat.
“Kami akan memperoleh keseluruhan ekuiti kepentingan dalam SESB untuk pertimbangan tunai RM80 juta dan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam SDASB membabitkan tunai sebanyak RM105 juta,” tambahnya.
Sementara itu, KPSSB telah memeterai perjanjian konsesi dengan kerajaan Malaysia pada 2013 untuk membangunkan serta menyelenggara asrama pelajar di kampus-kampus di Banting, Ipoh, Port Dickson, Johor Bahru, Seberang Prai, Jelidan Kota Bahru sehingga 2036.
Pengurusan setiap kampus politeknik dibuat oleh sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh KPSSB. Henry Butcher Malaysia (Mont Kiara) Sdn Bhd telah dilantik oleh KPSSB sebagai penyedia perkhidmatan pengurusan aset pihak ketiga membabitkan asrama pelajar di kampus-kampus politeknik tersebut.