FTA Korea Selatan-Malaysia: Jambatan Menuju Kemakmuran Masa Depan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjabat tangan dengan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, semasa lawatan rasmi beliau ke Korea Selatan.–fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung-bae menekankan kepentingan komitmen yang dipamerkan oleh kedua-dua negara semasa lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke negara itu minggu ini, khususnya dalam memajukan usaha untuk memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas Korea-Malaysia (FTA) menjelang 2025.

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Iteenews) — Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan dari 24 hingga 26 Nov amat bermakna terutamanya apabila beliau dan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol dalam satu kenyataan bersama bersetuju untuk memuktamadkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Korea-Malaysia menjelang 2025.

Kedua-dua pihak komited untuk memastikan kesepakatan itu dimuktamadkan secepat mungkin.

Setelah dimeterai, FTA Korea-Malaysia dijangka mempercepatkan kerjasama ekonomi dua hala. Ia bukan sahaja memperkukuh asas perdagangan dan pelaburan, malah menjadi pemacu kepada kerjasama ekonomi yang stabil dan mampan.

Secara khususnya says ingin menegaskan bahawa FTA ini akan memberi manfaat kepada Malaysia dalam tiga aspek utama: memperkukuh kerjasama dalam industri baharu yang sedang berkembang, menarik pelaburan asing, dan mendorong pembaharuan institusi serta pemodenan pentadbiran.

<!––>

FTA ini bukan sekadar mempromosi perdagangan barangan tradisional tetapi merangkumi strategi kerjasama dalam sektor baharu seperti ekonomi hijau, bioekonomi, dan industri digital.

Pendekatan ini sejajar dengan strategi ekonomi Malaysia, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Ia bukan sahaja akan memupuk perkongsian dalam tenaga hijau, bioteknologi, dan ekonomi digital tetapi juga akan menyokong inovasi dalam industri baru muncul, termasuk inisiatif R&D bersama, perkongsian teknologi, dan pembangunan bakat, sekali gus menyumbang kepada merealisasikan wawasan ekonomi MADANI Malaysia.