KUALA LUMPUR, 10 Okt (Iteenews) –Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) percaya Belanjawan 2025 akan memberi tumpuan yang kukuh terhadap kerjasama serantau, khususnya dalam bidang kewangan, kerangkuman kewangan dan perdagangan rentas sempadan.
Badan pemikir itu berkata ini akan meningkatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun depan.
“Belanjawan ini akan menyokong inisiatif yang akan melonjakkan peranan Malaysia dalam perdagangan serantau serta integrasi ekonomi,” kata MIER dalam cetusan sebelum belanjawannya yangbertajuk “Belanjawan 2025: Membentuk Masa Depan Ekonomi Malaysia.”
PengerusiASEAN semasa, Laos akan menyerahkan jawatan pengerusi ASEAN kepada Malaysia semasa majlis penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane esok.
Sementara itu, MIER turut menekankan langkah kerajaan untuk memajukan lagi sektor kewangan Islam Malaysia, dengan tumpuan ke arah modal teroka dan model kewangan perkongsian ekuiti.
Dalam mengejar pertumbuhan mampan sektor itu, MIER berkata inisiatif ini akan menyokong amalan kewangan beretika selain menyelaraskannya dengan matlamat pembaharuan ekonomi kerajaan yang lebih luas.
Bagi pertumbuhan pembuatan serta perindustrian, belanjawan ini iakan menyasarkan sektor seperti semikonduktor, automotif termasuk tenaga boleh baharu, seterusnya, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan memacu pertumbuhan yang mampan.
Pada masa yang sama, rebat cukai dan sokongan korporat juga akan diperkenalkan untuk perusahaan kecil dan sederhana bagi membantu mengurus kos perniagaan yang semakin bertambah, di samping sistem levi berperingkat untuk pekerja asing.
MIER ketika mengulas mengenai ekonomi hijau dan kelestarian menjangkakan bahawa insentif untuk teknologi mesra alamtermasuk tenaga boleh baharu, kenderaan elektrik serta rangka kerja cukai karbon, akan diperluaskan.