–foto MIDA
KUALA LUMPUR, 16 Dis (Iteenews) — EVE Energy Malaysia Sdn Bhd (EVE), pengeluar bateri litium global merasmikan kilang pembuatan baharu di Padang Meha, Kedah, yang menyediakan perkhidmatan untuk pelanggan dalam sektor tenaga dan kenderaan elektrik dua roda di seluruh Asia Tenggara, Eropah dan Amerika Utara.
Dalam kenyataan bersama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini, kedua-dua pihak itu berkata apabila beroperasi sepenuhnya, kemudahan berkenaan akan mengambil perkhidmatan seramai 2,000 rakyat Malaysia dengan majoritinya dalam bidang teknikal.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid menzahirkan ucapan tahniah kepada syarikat berkenaan di atas pencapaian bermakna dalam pembangunan kilang di Malaysia.
Beliau berkata dalam mengharungi cabaran getir akibat perubahan iklim, peralihan tenaga serta pembangunan rendah karbon ini akan menjadi teras bagi industri di masa depan.
\”Kerajaan Malaysia memberi penekanan besar terhadap isu ini dan mengorak langkah bagi kemajuan masa depan menerusi kerjasama dengan EVE Energy Co Ltd.
\”Secara bersama, kita komited dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi serta inovasi teknologi sambil memacu peralihan tenaga dan pembangunan mampan,\” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan EVE Energy Vincent Wong berkata kemudahan di Malaysia telah siap dalam tempoh 16 bulan sejak majlis pecah tanah pada Ogos 2023, sekali gus memaparkan kemajuan ketara dari segi mengetengahkannya ke peringkat lapangan.
\”Kemudahan ini dijangka mula beroperasi dalam suku pertama 2025 dan akan berperanan sebagai kilang pertama di luar negara untuk mencapai pengeluaran besar-besaran serta penyampaian EVE Energy,\” kata kenyataan itu.
Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EVE Energy, Liu Jianhua berkata pembinaan kilang EVE Energy di Malaysia akan menggalakkan lagi aspek kerjasama serta pertukaran antara China dan Malaysia dalam bidang tenaga baharu.