kredit EPIC Berhad
KUALA TERENGGANU, 4 Sept (Iteenews) — Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) akan menubuhkan kemudahan kitar semula kapal hijau (GSRF) dan kemudahan pemulihan bagi penamatan (DRF) kapaldi Pelabuhan Kemaman.
Menerusi kenyataan pada Rabu, EPIC menjelaskan penubuhan rintis melalui anak syarikatnya, Eastern Pacific Marine Services Sdn Bhd itudijangka mentransformasikan industri maritim apabila kemudahan tersebut beroperasi sepenuhnya pada akhir 2026.
Kemudahan canggih di kawasan seluas 5.3 hektar di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) itu dijangka menjadi tonggak utama bagi kitar semula dan penamatan kapal secara mampan di negara ini, tambah EPIC.
“GSRF direka dengan mematuhi piawaian alam sekitar dan keselamatan antarabangsa yang tertinggi, termasuk keperluan ketat yang ditetapkan Konvensyen Antarabangsa Hong Kong untuk Kitar Semula Kapal yang Selamat dan Mesra Alam (Konvensyen Hong Kong).
“Konvensyen ini, yang akan berkuat kuasa pada 26 Jun tahun depan, memastikan kapal pada akhir hayat operasinya dikitar semula dengan selamat, meminimumkan risiko kepada kesihatan manusia dan alam sekitar,” jelasnya.
Menurut EPIC kawasan himpitan basah, antara ciri utama GSRF, direka khusus bagi pengendalian projek penamatan yang besar dan sukar, termasuk menanggalkan platform luar pesisir yang membolehkan pengendalian struktur besar dengan lancar, seterusnya menjadikan GSRF sebagai kemudahan pilihan untuk pelupusan aset luar pesisir.
“GSRF juga akan berfungsi sebagai tempat pelupusan darat atau DRF untuk platform luar pesisir yang dijadualkan untuk penamatan.
“Peranan dwifungsi ini mencerminkan usaha EPIC untuk menyokong sektor minyak dan gas luar pesisir Malaysia dengan cara yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, memastikan aktiviti pembaikan bagi penamatan dijalankan dengan kesan minimum terhadap alam sekitar,” tambahnya.
EPIC memaklumkan pihaknya yakin GSRF akan menjadi model untuk industri, menetapkan piawaian baharu bagi kelestarian alam sekitar dan kecemerlangan operasi.