Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjawab pertanyaan media pada Larian ASEAN:Trek Kewangan@Kementerian Kewangan di Dataran Wawasan, Presint 2 hari ini.
PUTRAJAYA, 23 Feb (Iteenews) — Prestasi memberangsangkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada suku ketiga tahun lepas dijangka memberi pulangan yang baik dari segi dividen kepada pencarumnya.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata berdasarkan prestasi kukuh KWSP pada suku ketiga 2024, pencarum boleh mengharapkan berita gembira berkaitan agihan dividen yang lebih baik bagi tahun 2024berbanding tahun sebelumnya.
“Kalau kita tengok prestasinya sehingga suku ketiga tahun lepas, ia (prestasi) menggalakkan. Sehingga suku ketiga, ia (KWSP) dah dapat RM57.5 bilion (pendapatan pelaburan). Lebih baik daripada tahun sebelumnya.
“Oleh itu, insya-Allah prestasi berterusan pada suku keempat dan dividenakan memberangsangkan.Namun, saya tak boleh komenapa dividennya. Itu tunggulah. Boleh kata lebih baik. Insya-Allah,”katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Larian ASEAN: Trek Kewangan @MOF anjuran Kementerian Kewangan (MOF)di sini hari ini.
KWSP mengisytiharkan dividen lebih tinggi pada 2023iaitu 5.50 peratus bagi Simpanan Konvensional berbanding 5.35 peratus pada 2022 dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion.
Bagi Simpanan Shariah, 5.40 peratus direkodkan berbanding 4.75 peratus pada 2022 dengan jumlah agihan sebanyak RM7.48 bilion.
KWSP dijangka mengumumkan kadar dividen 2024 pada awal Mac ini.
Terdahulu, beberapa pakar ekonomi dan akademik menjangkakan dividen KWSP bagi tahun 2024 melebihi enam peratus.
Sementara itu, lebih 3,700 peserta menyertai Larian ASEAN: Trek Kewangan @MOF, yang diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 melibatkan penyertaan daripada kalangan warga MOF dan orang awam.