KUALA LUMPUR, 11 Dis (Iteenews) — Kerajaan akan meneruskan usaha untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 4.3 peratus pada 2024 dan 3.8 peratus pada 2025 berbanding lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023.
Pada masa yang sama, kerajaan akan menambah baik pembaharuan fiskal untuk memperteguh daya tahan kewangan dan meningkatkan hasil.
Inisiatif utama pada tahun ini turut merangkumi semakan semula cukai perkhidmatan kepada lapan peratus daripada enam peratus, cukai jualan dalam talian sebanyak 10 peratus ke atas barangan import bernilai rendah (LVG) yang bernilai RM500 atau kurang daripada itu, dan pengenalan cukai keuntungan modal.
Malah, terdapat usaha untuk mendigitalkan percukaian dan pelaporan kewangan melalui e-invois untuk mengurangkan kes mengelak pembayaran cukai dan ketirisan kewangan.
Cukai jualan dan perkhidmatan (SST)
Cukai jualan sebanyak 10 peratus dikenakan ke atas barangan import bernilai rendah (LVG) yang dijual secara dalam talian berkuat kuasa mulai 1 Jan 2024. Cukai ini kali pertama diumumkan dalam Belanjawan 2022 dan dijadualkan berkuat kuasa pada 1 April 2023 sebelum kemudiannya ditangguhkan.
Sementara itu, mulai 1 Mac 2024, kadar cukai perkhidmatan dinaikkan kepada lapan peratus berbanding enam peratus di pelbagai sektor manakala perkhidmatan asas seperti makanan dan minuman, telekomunikasi, tempat letak kereta, dan logistik kekal dikenakan cukai pada enam peratus.
Dalam Belanjawan 2025, kerajaan mengumumkan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) secara progresif dari segi skop dan kadar, yang akan berkuat kuasa 1 Mei 2025.