Co-opbank Bakal Terbit Sukuk Bernilai RM5.0 Bln

913fe0927f7de58c8315c38e1a76237060057c7aef42d

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Iteenews) — Co-opbank Pertama (CBP) akan menerbitkan program Sukuk Berstruktur Terlindung bernilai RM5.0 bilion sebagai salah satu usahauntuk mempelbagaikan sumber pendanaan CBP bagi tujuan pembiayaan asetdan menyokong operasi keseluruhan CBP.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata penerbitan sukuk menjadi sebahagian daripada strategi CBP untuk memastikan kos kewangan yang stabil dan konsisten.

"Penerbitan sukuk ini masih dalam proses dan perlu mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) selaku pengawal selia CBP serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, CBP juga telah menerima penarafan FI Rating A3/ Stable/ P2 daripada RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) yang mana secara tidak langsung dapat meyakinkan pelabur berpotensi terhadap kekuatan profil CBP dan seterusnya membuka peluang kepada CBP mendapatkan 'Penarafan Penerbitan' yang baik dari RAM Rating bagi proses penerbitan sukuk ini.

Khairil Anuar ketika mengulas mengenai pencapaian kewangan CBP tahun 2024 iaitu sehingga Julai 2024, 13 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan CBP adalah daripada pelaburan sukuk.

Pada 2022, pelaburan sukuk telah menyumbang sebanyak lapan peratus, manakala pada 2023 ia telah meningkat kepada 10 peratus dengan jumlah aset pelaburan bernilai RM1.5 bilion pada tahun tersebut.

CBP mengambil manfaat atas keupayaan instrumen sukuk iaitu telah menjadikan portfolio sukuk yang aktif sebagai aset pelaburan CBP dan sukuk akan dijadikan salah satu sumber pendanaan bagi pengembangan aset perniagaan CBP.

Selain itu, Khairil Anuar turut memaklumkan kadar dividen untuk syer biasa sebanyak 6.5 peratus dan syer keutamaan boleh tukar boleh tebus Islam (iRCPS) sebanyak 6.78 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023 seperti yang diluluskan oleh Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan yang lepas.

Dalam mempromosikan CBP kepada masyarakat, Khairil Anuar berkata pihaknya turut mengadakan kempen tahunan 'Hello CBP' yang sedang berjalan sehingga 31 Dis, 2024 yang mana pelanggan berpeluang memenangi hadiah sehingga RM1.5 juta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *