CAAM Kaji Semula Peraturan Pesawat Berpendaftaran Asing

06dfb1186ab8920e376c9c1a83ee085266bf79f4509a3Datuk Captain Norazman Mahmud

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Iteenews) –Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah memulakan semakan menyeluruh terhadap peraturan 147 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 berkaitan pengendalian pesawat berdaftar asing dalam penerbangan am.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata semakan itu adalah selaras dengan saranan keselamatan yang disediakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara dan cadangan peraturan baharu itu dijangka diterbitkan menjelang penghujung 2024.

“Kajian semula ini bertujuan untuk memperkasakan CAAM dalam meningkatkan keupayaan pemantauan berkaitan pesawat berpendaftaran asing yang beroperasi di Malaysia, serta memastikan semua aktiviti penerbangan di negara ini mematuhi piawaian keselamatan tertinggi,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Norazman berkata peraturan baharu yang dicadangkan itu mencerminkan dedikasi CAAM terhadap penambahbaikan berterusan amalan keselamatan penerbangan.

“Susulan kemalangan Elmina pada 17 Ogos 2023, CAAM telah meningkatkan pengawasan bagi pemeriksaan tanjakan terutamanya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, yang mana terdapat banyak aktiviti penerbangan am,” katanya lagi.

Langkah ini menunjukkan komitmen berterusan CAAM untuk memastikan keselamatan dan pematuhan peraturan dalam semua operasi penerbangan.

“CAAM teguh dalam memastikan standard keselamatan serta kecekapan diletakkan pada tahap tertinggi dalam sektor penerbangan Malaysia dan mengucapkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan atas sokongan dan kerjasama berterusan semasa pelaksanaan usaha penambahbaikan yang penting ini,” katanya.

.Dalam kejadian 17 Ogos lalu, sebuah jet Beechcraft Model 390 dalam perjalanan ke lapangan terbang Subang terhempas berhampiran Elmina, Shah Alam, Selangor, mengorbankan 10 orang.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *