BURSA MALAYSIA DITUTUP TINGGI DIPACU SAHAM BERKAITAN PUSAT DATA, AKHIRI PENYUSUTAN LIMA HARI

71e613f638765b736e65cf778eb4b95b675c24e36e5f9

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Iteenews) — Bursa Malaysia menamatkan penyusutan lima hari berturut-turut apabila ditutup lebih tinggi hari ini, dipacu saham-saham berkaitan rantaian bekalan pusat data, terutama utiliti dan aluminium.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.67 mata atau 0.42 peratus kepada 1,608.75 daripada 1,602.08 semasa ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 1.78 mata lebih tinggi kepada 1,603.86 dan bergerak antara 1,603.74 hingga 1,611.98 sepanjang dagangan.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 611 berbanding 488, manakala 477 kaunter tidak berubah, 925 tidak diniagakan dan 44 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.79 bilion unit bernilai RM2.40 bilion daripada 3.32 bilion unit bernilai RM2.53 bilion semalam.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata pergerakan meningkat indeks telah didorong oleh reaksi pelabur terhadap data tuntutan pengangguran Amerika Syarikat (AS), yang menokok kepada 242,000 — melebihi jangkaan pada 220,000.

\”Data ini menguatkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS mungkin menurunkan kadar faedah pada mesyuarat minggu depan.

\”Selain itu, sentimen berkenaan turut dipengaruhi oleh perkembangan hubungan AS-China,\” katanya kepada Iteenews.

Beliau berkata indeks teknologi, yang amat peka kepada perubahan kadar faedah, melonjak 1.88 peratus hari ini, mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat dalam kalangan pelabur.