Bursa Malaysia Dibuka Tinggi Meskipun Pasaran Semalaman AS Alami Penurunan

f9d5df57c597b777d8fdf3a6381e0ec767331b1840222

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Iteenews) — Bursa Malaysia meningkat semula untuk dibuka tinggi pada Jumaat, walaupun pasaran Amerika Syarikat (AS) mengalami penurunan dalam tempoh semalaman.

Pada pukul 9.05 pagi, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.22 mata kepada 1,635.09 daripada 1,632.87 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks itu dibuka 2.07 mata lebih tinggi kepada 1,634.94.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 164 berbanding 131, manakala 264 kaunter lain tidak berubah, 1,796 launter tidak diniagakan, dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 119.32 juta unit bernilai RM69.23 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pihaknya cenderung kepada sektor minyak dan gas susulan lonjakan harga minyak mentah Brent, di samping mengekalkan unjuran positif bagi sektor yang berorientasi eksport seperti sarung tangan dan teknologi.

“Sekiranya harga emas melepasi paras rintangan, keadaan ini boleh memberikan peluang dagangan dalam kaunter berkaitan emas. Dalam melangkah ke hadapan, kami mengunjurkan pelaburan pusat data mula memberi impak pendapatan kepada sektor pembinaan, bahan binaan, dan utiliti,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Antara saham wajaran tinggi, CIMB meningkat lima sen kepada RM8.18, TNB naik empat sen kepada RM14.80, IHH Healthcare menokok dua sen kepada RM7.32, Hong Leong Bank melonjak 16 sen kepada RM20.58, CelcomDigi tidak berubah pada RM3.65, Maybank susut dua sen kepada RM10.16 dan Public Bank turun satu sen kepada RM4.53.