Dr Lim Fang Jen
KUALA LUMPUR, 6 Mac (Iteenews) –Pneumonia atau radang paru-paru kini menjadi punca utama kematian di Malaysia, dengan 18,181 kes kematian direkodkan pada 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Sementara, influenza bermusim kekal menjadi isu kesihatan global, yang menjejaskan kira-kira satu bilion individu setiap tahun, dengan tiga hingga lima juta kes diklasifikasikan sebagai serius.
Pakar Perunding Perubatan Pernafasan dan Perubatan Dalaman Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa menjelaskan bahawa peningkatan virus pernafasan seperti influenza dan COVID-19 menjadikan individu lebih terdedah kepada pneumonia.
Beliau berkata penuaan penduduk, kelewatan mendapatkan rawatan perubatan, dan kadar vaksinasi yang rendah antara faktor utama peningkatan kematian akibat pneumonia di Malaysia.
"Pneumonia adalah jangkitan pernafasan serius yang menyebabkan keradangan paru-paru, menyukarkan pernafasan, mengurangkan kadar oksigen dalam darah, serta berkemungkinan mendapat komplikasi serius yang memerlukan rawatan di hospital atau mengakibatkan kematian.
"Walaupun golongan warga emas lebih berisiko menghidap pneumonia, namun individu lebih muda tidak terkecuali, terutamanya mereka yang mempunyai sistem imun lemah, menghidap penyakit kronik, atau mengamalkan gaya hidup yang menjejaskan kesihatan paru-paru," katanya dalam satu kenyataan kepada Iteenews hari ini.
Dr Nurul berkata terdapat peningkatan kes pneumonia dalam kalangan individu muda sejak beberapa tahun kebelakangan ini,berpunca daripada pendedahan lebih besar kepada virus pernafasan, tabiat merokok, dan penggunaan vape.
Beliau menjelaskan bahawa influenza dan COVID-19 merupakan penyumbang utama kepada pneumonia, kerana kedua-dua virus ini melemahkan sistem pertahanan badan dan sistem pernafasan.
"Virus influenza merosakkan membran pelindung yang melapisi saluran pernafasan serta cilia, struktur halus berbulu yang berfungsi menyingkirkan lendir dan menjadikan individu lebih mudah terdedah kepada jangkitan bakteria yang boleh mencetuskan pneumonia.