Penumpang pesawat British Airways Boeing 787-900 disambut mesra sejurus pesawat tersebut mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini.British Airways menyambung semula penerbangan harian London-Kuala Lumpur selepas hampir lima tahun menghentikan perkhidmatan penerbangan ke negera ini.Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyambut ketibaan pesawat tersebut.
SEPANG, 2 April(Iteenews) –British Airways bekerjasama dengan Malaysia Airlines untuk memperluaskan perjanjian perkongsian kod mereka dengan menawarkan kepada pengembara lebih banyak pilihan perjalanan ke Eropah.
Pengurus Besar Serantau British Airways untuk Timur Tengah, Afrika, dan Asia,Helen O'Connor berkata rangkaian yang diperluaskan itu akan memberikan lebih banyak pilihan dan fleksibiliti kepada pelanggan untuk meneroka destinasi percutian baharu.
"Ini adalah masa yang mengujakan bagi kami di British Airways," katanya ketika berucap sempena ketibaan penerbangan pertama syarikat penerbangan kebangsaan United Kingdom ke Malaysia selepas berehat selama lima tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Penerbangan British Airways BA33 tiba di KLIA pada pukul5.20 petang, menandakan penyambungan semula perkhidmatan harian antara Lapangan Terbang Heathrow London dan KLIA.
Mengulas mengenai perkembangan berkenaan, O'Connor berkata laluan ituakan menggunakan pesawat Boeing 787-9 milik syarikat penerbangan itu, dengan konfigurasi kabin penuh.
"Sebagai syarikat penerbangan kebangsaan United Kingdom, kami berbangga untuk beroperasi ke lebih 200 destinasi di lebih 70 negara.
"Kembalinya kami ke Kuala Lumpur juga melambangkan kepentingan untuk menyambung semula hubungan antara orang, budaya, dan perniagaan antara dua benua," katanya.
O'Connor juga menekankan beberapa bidang utama dalam pelaburan bernilai GBP7 bilion oleh syarikat penerbangan itu untuk meningkatkan dan mengembangkan perniagaannya.
Beliau berkata antaranya British Airways telah melabur dalam menaik taraf sistem teknologi maklumatnya untuk menawarkan penumpang laman web dan aplikasi mudah alih serba baharu, yang akan dilancarkan tahun ini.