BNM Gesa Penanggung Insurans, Pengendali Takaful Semak Strategi Penentuan Semula Harga

d0bdea43d4c92fe040c99bf69ff392fc5e7433106e841

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Iteenews) — Bank Negara Malaysia (BNM) menggesa penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) supaya menyemak strategi penentuan semula harga untuk memastikan pelaksanaan yang lebih wajar.

Bank pusat menjelaskan hal itu termasuk menguruskan secara berterusan kenaikan premium/sumbangan dengan mengambil kira impak terhadap pemegang polisi/peserta takaful.

“Di samping itu, ITO dikehendaki menyediakan pilihan penyelesaian yang sesuai untuk pemegang polisi/peserta yang sangat terkesan disebabkan oleh peningkatan premium/sumbangan bagi terus mempunyai perlindungan insurans/takaful.

“ITO juga perlu memastikan pilihan penyelesaian yang disediakan adalah bermakna dan menyediakan langkah-langkah tambahan untuk menyokong pemegang polisi/peserta takaful yang terjejas,” jelasnya dalam kenyataan pada Khamis.

BNM memaklumkan bahawa maklumat lanjut tentang pilihan tersedia akan diumumkan oleh industri insurans/takaful dalam masa terdekat.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kos penjagaan kesihatan telah meningkat dengan ketara berikutan inflasi kos perubatan dan peningkatan penggunaan perkhidmatan dan prosedur perubatan.

“Oleh itu, pembaharuan yang komprehensif dan terlaras untuk membendung inflasi kos perubatan adalah sangat penting bagi memastikan akses berterusan kepada produk perlindungan MHIT yang bersesuaian,” tambahnya.

Pihak berkepentingan yang relevan (termasuk ITO, Kementerian Kesihatan, Persatuan Hospital Swasta Malaysia, pengamal perubatan, kumpulan pengguna, pemegang polisi/peserta takaful) serta BNM perlu bekerjasama untuk mencapai matlamat ini, jelas bank pusat.

“BNM kekal komited bagi memastikan orang ramai terus mempunyai akses kepada produk insurans dan takaful yang bersesuaian,” tambahnya.