Georg Chmiel– fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR, 11 Sept (Iteenews) — Belanjawan2025 yang akan datang perlu menyokong pelaburan strategik untuk memacu transformasi digital, sokongan ini penting bagi Malaysia untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital, kata seorang pakar teknologi.
Ahli lembaga World Digital Chamber, Georg Chmiel percaya Belanjawan 2025 memberikan peluang yang unik untuk membuka kunci pertumbuhan ekonomi selain memantapkan kedudukan negara dalam arena teknologi global.
Chmiel, yang juga Pengasas Bersama dan Pengerusi Juwai IQI, menjelaskan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi global, sektor itu memerlukan belanjawan yang akan membantu memudahkan perdagangan serta pelaburan antarabangsa.
“Bagi memacu Malaysia sebagai peneraju dalam teknologi baru muncul seperti kecerdasan buatan dan rantaian blok, kami berharap Kementerian Digital akan mengutamakan pelaburan serta insentif penyelidikan dan pembangunan yang mantap.
"Dengan memperkemas peraturan, kita boleh menarik pelabur global selain membantu syarikat seperti Juwai IQI dan GoFlex Events mengembangkan jejak global mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Chmiel, masa depan teknologi di Malaysia bergantung kepada kemampuan pihak-pihak berkepentingan di sini untuk bekerjasama, berkongsi pengetahuandan mencipta penyelesaian.
“Kerjasama adalah asas inovasi. Kita berharap Belanjawan 2025 akan menyokong perkongsian awam-swasta yang mampu memupuk hab inovasi dan memacu transformasi digital merentas industri,” katanya.
Beliau berpendapat dengan memberi tumpuan kepada inovasi, infrastruktur, pembangunan bakat, kemampanan serta daya saing global, kerajaan boleh memperkasakan industri teknologi untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan menyumbang ke arah merealisasikan wawasan Ekonomi MADANI.
“Belanjawan 2025 bukan sekadar satu lagi rancangan fiskal,ia adalah pelan tindakan masa depan digital Malaysia dan akan menentukan trajektori negara kita untuk tahun-tahun akan datang.