Belanjawan 2025: Pembiayaan RM470 Juta Penting Untuk Pertingkat Usahawan PMKS Wanita

69106592e63dd9a5e5fc1c01783385e3671501be30832–fotoBERNAMA (2024)

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Iteenews) — Peruntukan dana pembiayaan sebanyak RM470 juta bagi menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang diteraju wanita akan berperanan penting membantu usahawan wanita memperoleh modal kerja, membeli aset dan meluaskan kapasiti perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Tan Sri Soh Thian Lai berkata sokongan akses kepada pembiayaan sedemikian adalah sejajar dengan usaha FMM untuk menggalakkan pertumbuhan dan kemampanan usahawan wanita, memacu pembangunan ekonomi yang inklusif.

“Kami menyambut baik inisiatif RM470 juta dalam bentuk dana pembiayaan yang disediakan oleh SME Bank, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), yang telah diperjuangkan secara aktif oleh FMM,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, beliau mengalu-alukan peruntukan berjumlah RM3.8 bilion bagi pinjaman pendigitalan dan automasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bagaimanapun, katanya pinjaman itu perlu ditawarkan pada kadar faedah rendah dua hingga tiga peratus memandangkan banyak PKS masih ketinggalan berbanding rakan serantau dari segi penerimagunaan teknologi Industri 4.0.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Datuk William Ng pula memuji inisiatif kerajaan untuk mengurangkan defisit belanjawan dan melaksanakan langkah mengurangkan pembaziran, termasuk menggabungkan agensi dan melanjutkan pembiayaan bersubsidi dan jaminan kredit untuk PKS.

“Peruntukan RM3.8 bilion bagi automasi dan pendigitalan akan dapat membantu manakala RM650 juta yang disediakan untuk menyokong usahawan wanita dan belia adalah strategi inklusif.

“Kami juga menghargai geran padanan latihan industri yang akan dilaksanakan oleh TalentCorp, yang akan membantu meredakan masalah mengenai bakat dalam kalangan PKS di samping membolehkan lebih ramai pelajar menimba pengalaman praktikal,” katanya.

Mengulas mengenai kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700, katanya Samenta mengakui bahawa gaji di Malaysia terlalu rendah, justeru banyak lagi usaha perlu dilakukan untuk menaikkan gaji rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *