Bacaan Kali Kedua RUU Perkhidmatan Parlimen Esok – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan De\’Seri Endon Puspanitapuri hari ini.

PUTRAJAYA, 3 Mac (Iteenews) — Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025 akan dibentangkan bagi bacaan kali kedua esok, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata dengan pembentangan RUU itu dan selepas diluluskan kelak, ia memberikan kematangan kepada sistem demokrasi negara dengan membuka ruang kepada Parlimen untuk lebih bebas dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.

“Ia juga beri ketetapan (petanda) tentang kematangan proses demokrasi dalam negara. Parlimen mercu tanda kebebasan bersuara Ahli Parlimen, tetapi tidak boleh terlalu terikat dengan proses perkhidmatan awam secara menyeluruh.

“Itu disebut RUU yang akan dibentangkan esok, yang tentunya perlukan dukungan dua pertiga Ahli Parlimen,” katanya ketika berucap pada pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 antara lain bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen yang menjadi suatu perkhidmatan berasingan daripada perkhidmatan awam, dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 24 Feb lepas.

— BERNAMA