Awasi Komen Di Media Sosial, Elak Padah Dikenakan Tindakan Undang-undang

Oleh Nordiana Barka

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Iteenews) –Akhir-akhir ini, media sosial semakin menjadi tumpuan susulan dipenuhi dengan komen dan pandangan berbentuk spekulasi serta provokasi daripada netizenberkaitan pelbagai isu, menjadikannya semakin sukar untuk dikawal.

Ibarat kata pepatah ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’, netizen yang melontarkan komen sedemikian boleh memberi kesan kepada emosi serta kesejahteraan mental seseorang individu.

Tanpa disedari, ramai yang memandang remeh perbuatan itu, terutamanya apabila jari-jemari pantas menari di atas papan kekunci tanpa memikirkan akibatnya.

Mereka terlupa, setiap komen yang dilontarkan terutama yang boleh mencetuskan fitnah, bukan sahaja mencalar maruah, tetapi turut membuka ruang untuk tindakan undang-undang yang serius.

Mengulas perkara itu, peguam Muhammad Akram Abdul Aziz berkata di bawah undang-undang Malaysia, fitnah boleh berlaku sama ada secara lisan atau bertulis, yang bukti mudah diperoleh apabila sesuatu komen disiarkan di media sosial.

“Apabila mereka melontarkan komen tanpa mempunyai sebarang maklumat sahih berkenaan sesuatu isu, maka wujud risiko komen tersebut tidak tepat dari segi fakta, sekali gus menimbulkan persepsi buruk terhadap pihak terlibat.

“Lebih teruk lagi apabila ahli keluarga pihak terlibat, terkesan akibat komen yang tidak berasas dikeluarkan netizen di media sosial. Oleh itu, jangan terkejut jika ada antara netizen ini berdepan dengan tindakan undang-undang,” katanya kepada Iteenews, baru-baru ini.

Muhammad Akram berkata sekiranya komen yang dilontarkan menjurus kepada pihak yang telah meninggal dunia, maka waris atau ahli keluarga si mati boleh mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang yang lain.