KUALA LUMPUR, 27 Mei (Iteenews) — Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang memasuki hari terakhir hari ini, akan meneruskan momentum positif yang telah dicapai semalam dan dijangka memperkukuh lagi peranan Malaysia dalam mengetuai agenda kerjasama strategik ASEAN bersama rakan serantau dan global.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata dengan tumpuan kepada sidang-sidang penting yang berlangsung, Malaysia komited untuk memastikan bahawa Kepengerusian ASEAN 2025 terus menghasilkan keputusan yang bermakna, berpaksikan prinsip, dan memberi kesan langsung kepada rakyat ASEAN.
“Melihat kepada kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ini, kita harus berbangga mempunyaipasukan yang komited untuk mengharumkan nama negara dan membawa pulangan hasil yang terbaikbuat rakyat keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.
Tunku Nashrul berkata sidang hari ini akan menyaksikan tumpuan utama kepada pengukuhan kerjasama ASEAN bersama rakan strategik, menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakanbertujuan memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau.
Beliau berkatakedua-dua sidang ituakan membincangkan langkah konkrit untuk memperluas kerjasama dalam perdagangan, pelaburan dan pembangunan mampan, selaras dengan aspirasi ASEAN untuk memainkan peranan lebih besar dalam landskap geoekonomi Indo-Pasifik.
Turut berlangsung hari ini ialah Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-16 dan Sidang Kemuncak Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-16 yang akan memperkemas agenda pembangunan subrantau dan mengukuhkan keterhubungan rentas sempadan dalam kalangan negara terlibat.
Mengenai Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama, Tunku Nashrul berkata ia merupakan antara satu pencapaian utama sidang kemuncak semalam yang menjadi sebuah visi strategik jangka panjang yang akan memacu Komuniti ASEAN bagi dua dekad mendatang.
Beliau berkata dokumen itu merupakan kesinambungan ASEAN 2025: Forging Ahead Together yang dimeterai pada Kepengerusian Malaysia2015 dan kini menjadi peta hala tuju baharu untuk menjadikan ASEAN sebuah komuniti berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat, serta menjadi pusat pertumbuhan utama di rantau Indo-Pasifik menjelang2045.