99 Speed Mart Retail Holdings Bhd
KUALA LUMPUR, 5 Dis(Iteenews) –99 Speed Mart Retail Holdings dan Gamuda akan menggantikan Genting dan Genting Malaysia sebagai konstituen di FTSE Bursa Malaysia KLCI.
Ini adalah sebahagian daripada beberapa perubahan konstituen kepada Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia berikutan semakan separa tahunan pada Disember 2024, kata FTSE Russell dan Bursa Malaysia Bhd dalam satu kenyataan bersama.
"Siri indeks ini disemak setiap setengah tahun mengikut peraturan asas indeks masing-masing," katanya.
Sementara itu, sembilan perubahan konstituen dibuat pada FTSE Bursa Malaysia Mid 70 Index.
Sembilan konstituen itu terdiri daripada Carlsberg Brewery Malaysia, Genting, Genting Malaysia, Genting Plantations, Malakoff, Nationgate Holdings, Oriental Holdings, Tanco Holdings, dan ViTrox, manakala yang dikeluarkanmelibatkan British American Tobacco (M), DRB-Hicom, Gamuda, Lotte Chemical Titan Holding , Mi Technovation, Padini Holdings, Sports Toto, Supermaxdan Velesto Energy.
Bagi Indeks Syariah Hijrah FTSE Bursa Malaysia, satu perubahan konstituen dibuat, iaitu kemasukan IJM dan yang dikeluarkan ialah Malaysian Pacific Industries.
"Semua perubahan konstituen berkuat kuasa pada Isnin, 23 Dis, 2024. Semakan seterusnya akan dilakukan pada Jun 2025," kata kenyataan itu lagi.
FTSE Bursa Malaysia KLCI yang merupakan sebahagian daripada Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia, digunakan secara meluas oleh pelabur sebagai penanda aras utama untuk pasaran modal Malaysia, termasuk derivatif, melalui FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures (FKLI) dan FTSE Bursa Malaysia KLCI Option (OKLI).
Indeks penanda aras itu juga diikuti oleh beberapa produk kewangan berkaitan indeks, seperti dana-danadagangan bursa.