Para sukarelawan mengumpulkan lebihan makanan yang tidak habis dijual dari peniaga bazar Ramadan ketika tinjauan di Bazar Ramadan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh semalam.Lebihan makanan dan minuman berkenaan akan diagihkan kepada pelbagai pihak antaranya pelajar institusi pengajian tinggi, surau atau masjid dan taman perumahan.Purata sehari lebihan makanan dan minuman yang diselamatkan di empat bazar Ramadan terlibat iaitu MITC, Peringgit, Jasin Bestari dan Alor Gajah adalah sebanyak 600 kilogram (kg).Secara keseluruhan sebanyak 5,304 makanan dan minuman diselamatkan di empat bazar Ramadan berkenaan dalam tempoh lapan hari pelaksanaan program berkenaan bermula 10 Mac lepas.–fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
MELAKA, 18 Mac (Iteenews) — Sebanyak 60.7 tan lebihan makanan dianggarkan bernilai RM726,000 diselamatkan daripada dibuang menerusi pelaksanaan Program MySaveFood, pada tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed berkata inisiatif itu melibatkan 149 bazar Ramadan di Perlis, Kedah, Pahang, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Lebihan makanan diselamatkan melibatkan juadahtidak habis dijual oleh peniaga bazar Ramadan yang menyertai program itu dan kemudiannya diagihkan kepada pelbagai pihak antaranya ke institusi pengajian tinggi, surau atau masjid dan taman perumahan.
"Pada tahun ini, kita menjangkakan jumlah makanan diselamatkan lebih kurang sama dengan tahun lepas kerana di Melaka sahaja, walaupun dalam tempoh beberapa hari, lebihan makanan dan minuman diselamatkan mencecah 4.8 tan.
"Lebihan makanan dan minuman berkenaan akan diagihkan kepada golongan memerlukan sekali gus mengelakkan pembaziran," katanya kepada pemberita selepas Program MySaveFood Ramadan di Bazar Ramadan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) SWCorp Zulkifli Tamby Chik dan Pengarah SWCorp Melaka Nor Zaki Md Nor.
Mengulas lanjut, Khalid berkata inisiatif itu bukan sahaja mengelakkan pembaziran, tetapi juga menyumbang kepada pengurangan jumlah sisa pepejal dibuang ke tapak pelupusan di negeri terlibat.
"Sebenarnya secara keseluruhan, kita mendapati jumlah sisa dilupuskan di tapak pelupusan sampah di tujuh negeri terlibat bersempena dengan Ramadan setakat hari ini berkurang sebanyak 2.7 peratus berbanding bulan lain.
"Pengurangan itu membuktikan program MySaveFood Ramadan berjaya mengelak pembaziran sekali gus memberi impak positif kepada peniaga dan penerima lebihan makanan terbabit," katanya.