Ziarah kubur perlu bayar tiket masuk

tanah kubur viral

Tanah perkuburan di Stroke-on-Trent mengenakan bayaran bagi pelawat yang menziarahi kubur pada luar waktu operasi. – Stoke Sentinel

LONDON – Sebuah kawasan perkuburan di United Kingdom mengundang kecaman ramai selepas mengumumkan rancangan untuk mengenakan bayaran sebanyak £5 (RM28) bagi setiap sesi menziarah menjelang 2025, lapor akhbar Metro UK semalam. 

Tanah perkuburan itu terletak di Longton, Staffordshire dan telah beroperasi selama 19 tahun.

Pelawat dibenarkan masuk secara percuma bermula pukul 9 pagi hingga 3 petang (waktu tempatan) dari Isnin ke Jumaat. 

Namun, pelawat yang melawat di luar waktu operasi dikehendaki membuat pembelian pas VIP secara ‘one-off’.

Mereka yang mahu menziarahi kubur atau melakukan pembakaran mayat akan dikenakan bayaran £5 (RM28), manakala £10 (RM56) untuk membuat lawatan di taman bunga. 

Notis di tanah perkuburan menyatakan: “Mulai Januari 2025, tapak ini akan dilindungi oleh pagar elektrik dan ia akan dibuka atau ditutup secara automatik pada masa yang ditetapkan. Orang ramai dibenarkan masuk menggunakan pas VIP, menjadikan ia lebih selamat untuk kakitangan, keluarga serta pelawat.”

Tindakan itu menimbulkan kemarahan orang ramai, terutamanya ahli keluarga dan rakan-rakan si mati yang dikebumikan di tanah perkuburan tersebut. 

Seorang pelawat, Jode Bourne berkata: “Sekarang saya perlu membayar yuran keahlian untuk menziarahi kubur ayah saya. Ini satu penghinaan!” – AGENSI