Saya ingin mendapatkan penjelasan yang mendalam tentang pelaksanaan nikah batin. Apakah hukumnya?
Jawapan: Nikah bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul bagi menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.
Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah S.W.T: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…” (Surah Al-Nisa’: 3)
Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam, malah menggalakkannya. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab: 16/125].
Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariah yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang diletakkan syara’. Terdapat juga beberapa jenis pernikahan yang dilarang dalam Islam seperti nikah mut’ah (yang diamalkan pengikut ajaran Syiah), nikah muaqqat (nikah kontrak) dan lain-lain.
Berbalik kepada soalan yang diajukan mengenai nikah batin. Sesungguhnya tiada istilah nikah batin di dalam Islam. Adapun konsep nikah batin yang sering diuar-uarkan dalam kalangan masyarakat adalah sebuah kepercayaan dan ajaran yang dibawa serta diamalkan oleh puak pengamal ajaran sesat.
Ajaran ini diamalkan oleh pengamal ajaran sesat (kebiasaannya guru) yang mendakwa mendapat ilham rabbani untuk melaksanakan pernikahan secara langsung melalui Allah SWT. Kononnya, seorang perempuan telah dinikahkan oleh Allah SWT dengannya tanpa perlu kepada wali, akad, saksi dan juga mahar.
Si mangsa (perempuan itu) dalam keadaan terpaksa menyerahkan diri kepada guru mereka yang berselindung atas nama guru tarikat atau dipukau untuk melakukan sedemikian.
Ajaran ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk tujuan nafsu mereka semata-mata, bahkan untuk menghalalkan zina dalam kalangan mereka. Perbuatan ini sebenarnya lebih sesat daripada nikah mut’ah yang dahulunya pernah dibenarkan dalam Islam sebelum dimansuhkan oleh Rasulullah SAW.
Wujud juga sebahagian puak pengamal ajaran sesat yang menggunakan kisah pernikahan Nabi Muhammad S.A.W bersama Zainab Binti Jahsyi yang dinikahkan oleh Allah secara langsung sebagai dalil mereka untuk menghalalkan perbuatan ini. Allah berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 37:
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah”, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.
Ayat ini menceritakan bahawa Allah S.W.T mewahyukan kepada Rasul-Nya untuk menikahi Zainab tanpa wali, tanpa aqad, tanpa maskawin dan tanpa kehadiran saksi-saksi dari kalangan manusia. Segelintir pengamal ajaran sesat menjadikan ayat ini sebagai penyokong kepada kepercayaan songsang mereka untuk membolehkan dan menghalalkan amalan nikah batin. Walhal pernikahan langsung sepertimana dalam ayat di atas adalah khusus kepada Nabi Muhammad S.A.W sahaja tidak umum kepada umat Islam yang lain. [Lihat: al-Khasais al-Kubra li al-Suyuti: 2/428].
Di sini, kami senaraikan beberapa ajaran sesat yang dikenalpasti ada mengamalkan konsep nikah batin dalam ajaran mereka:
Ajaran Ilmu Hakikat oleh Haji Ahmad Laksamana bin Haji Omar.Ajaran Taslim oleh Haji Muhammad Syafie atau dikenali dengan nama Haji Muhammad Matahari, di Pulau Pinang.Ajaran Sesat Ustaz Zul (Zulkifli Ismail), di Selangor.Ajaran Haji Ghazali, di Selangor.Ajaran Ayah Pin, di Kelantan.
Kesimpulannya, nikah batin tergolong bersama dalam pernikahan yang dilarang dalam Islam, bahkan ia merupakan ajaran sesat yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Justeru, kami menasihatkan kepada semua umat Islam agar dapat menjauhkan diri daripada mempelajari dan mengikuti ajaran-ajaran yang menyeleweng ini.