BANGKOK – Seorang penjual bebola daging mengaku mengelar telinga bekas suaminya di hadapan gerainya di Pattaya, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Kejadian berlaku pada pukul 2.36 pagi (waktu tempatan) hari ini.
Menurut wanita dikenali sebagai Uraiwan itu, dia mula bertengkar dengan bekas suaminya, Adisak selepas mangsa melihat dia berbual dengan pelanggan lelaki.
“Dia dalam keadaan mabuk dan cemburu. Saya menyuruhnya pulang dan tidur tetapi dia menampar saya.
“Saya mengambil pisau dan mengelar telinganya. Saya tidak bermaksud untuk mencederakannya seteruk itu,” kata Uraiwan.
Selepas serangan itu, Uraiwan berasa panik lalu segera menelefon perkhidmatan kecemasan untuk mendapatkan bantuan.
Polis sedang menyiasat kes itu. – AGENSI