Wanita ditemui mati dalam BMW selepas bertengkar dengan teman lelaki

BMW

ANGGOTA polis dan forensik berada di lokasi kejadian. – THAIRATH

BANGKOK – Seorang wanita tempatan ditemui mati di dalam kereta BMW miliknya di wilayah Nonthaburi, tengah Thailand, lapor laman berita Thaiger hari ini. 

Wanita berkenaan meninggalkan sepucuk surat dan wasiat terakhir yang dialamatkan kepada ibunya.

Menurut laporan, pertengkaran dengan teman lelakinya menyebabkan dia membuat keputusan tragis tersebut.

Seorang lelaki Thai dikenali sebagai Noom, menemui mangsa terbaring di dalam sebuah kereta BMW 330e M Sport berwarna kelabu di Soi Bangrak pada 14 Ogos lalu.

Dia segera menghubungi Balai Polis Bang Sri Mueang tetapi mangsa sudah tidak bernyawa.

Menurut Noom, dia melihat wanita itu meletakkan keretanya di lorong berkenaan sekitar pukul 8 malam pada 13 Ogos lalu.

Dia melihat wanita berkenaan berjalan di belakang kereta BMW tersebut tetapi tidak memberikan perhatian ketika itu.

Pada pagi berikutnya, dia menemui mangsa masih terbaring di dalam keretanya lalu menghubungi polis.

Menurut polis, mangsa dikenali sebagai Noppawan Yimseesai dan berusia 36 tahun. Wanita itu merupakan penjual online untuk produk berjenama mewah.

Dia ditemui duduk di kerusi pemandu dan memakai baju-T Louis Vuitton bersama seluar jeans panjang.

Tiada luka atau tanda-tanda pergelutan ditemui pada badan mangsa  atau di dalam kenderaannya.

Barangan lain yang ditemui termasuk tiga beg jenama berjenama, kunci Lamborghini, jaket, rantai dan tiga telefon bimbit.

Surat wasiat  ditujukan kepada ibunya ditemui di tempat duduk penumpang di sebelah kiri mangsa. Butiran surat itu belum didedahkan kepada umum tetapi polis berkata, Noppawan berhasrat menyerahkan semua barang berharga dan harta benda kepada ibunya.

Di lantai tempat duduk belakang pula, polis  menemui dapur arang dengan sisa arang yang dinyalakan, menunjukkan berlaku keracunan karbon monoksida. 

Mayatnya dipindahkan ke hospital untuk bedah siasat. – AGENSI 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *