Wanita cuba rakam swafoto putus tangan digigit jerung

digigit jerung viral

Ross dibawa ke hospital berhampiran selepas kedua tangannya putus akibat digigit seekor jerung. – REX

LONDON – Seorang wanita mengalami detik ngeri apabila dua tangannya putus selepas digigit seekor jerung di Kepulauan Turks dan Caicos, lapor akhbar Metro UK semalam. 

Kejadian berlaku ketika dia cuba merakam swafoto bersama ikan pemangsa itu sekitar pukul 10.30 pagi (waktu tempatan) di Pantai Thompson Cove, rantau Carribean pada 7 Februari lalu. 

Mangsa yang dikenali sebagai Nathalie Ross, 55, berasal dari Kanada. Dia dilaporkan hilang kedua-dua tangan dan sebahagian pehanya. 

Imej yang dimuat naik di media sosial menunjukkan Ross terbaring di pantai ketika orang ramai dan suaminya cuba memberhentikan darah yang tersembur. 

“Jerung itu dianggarkan berukuran 1.83 meter panjang, namun spesiesnya masih belum dikenal pasti. 

“Ross diserang selepas menghampiri ikan pemangsa tersebut di kawasan cetek untuk merakam swafoto,” demikian menurut Kerajaan Kepulauan Turks dan Caicos dalam satu kenyataan. 

Mangsa segera dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut. 

Pantai tersebut ditutup sehingga 9 Februari lalu selepas pihak berkuasa mengesahkan bahawa jerung itu telah berenang jauh ke perairan lebih dalam. – AGENSI