Wanita Brazil ditumbuk polis di tepi jalan

Geli tumbuk1111 scaled

SEORANG wanita ditumbuk anggota polis di Sao Paulo. – Foto g1.globo

BRASILIA – Sebuah kamera pengawasan merakam detik seorang anggota polis menumbuk muka seorang wanita di luar rumahnya di Brazil, lapor portal berita MailOnline semalam.

Kejadian itu berlaku 21 Oktober lalu tetapi rakaman mengenainya hanya diperoleh saluran televisyen EPTV kelmarin.

Ia memaparkan tiga anggota polis tentera Sao Paulo mengepung wanita tersebut di tepi sebatang jalan.

Salah seorang daripada anggota polis terbabit kemudian menumbuk mangsa, menyebabkan dia terjatuh di kaki lima.

Ketiga-tiga anggota polis itu bagaimanapun telah digantung tugas, kata Polis Tentera Sao Paulo dalam satu kenyataan.

“Polis Tentera tidak membenarkan salah laku anggotanya dan sedang menyiasat kes itu,”kata jabatan berkenaan.

Sementara itu, mangsa memberitahu EPTV bahawa polis datang kepadanya selepas anak perempuannya membuat laporan mengenai pertengkaran mereka.

“Anggota polis bertindak agresif dengan saya sejak awal lagi. Mereka berkata bahawa jika saya tidak berdiam diri, muka saya akan dipecahkan,”kata wanita tersebut. – AGENSI