Wang RM130,000 menanti jika pindah ke pulau terpencil

PULAU

Sardinia menjadi salah sebuah lokasi tumpuan pelancong. – Archaeology Travel

ROM – Orang ramai termasuk rakyat asing ditawarkan insentif tunai €28,000 (RM130,000) untuk mendiami pulau terpencil Sardinia dan Calabria di Itali, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Kerajaan berusaha meningkatkan populasi dua pulau berkenaan selepas golongan muda berpindah ke bandar-bandar besar.

Individu berminat akan menerima geran €28,000, namun mereka perlu tinggal di salah sebuah daripada sembilan kampung kecil yang memiliki 2,000 penduduk atau kurang.

Pemohon mesti berumur tidak lebih daripada 40 tahun dan perlu berpindah dalam tempoh 90 hari selepas permohonan mereka diluluskan.

Selepas berpindah, mereka boleh sama ada memulakan perniagaan baharu yang memberi manfaat kepada penduduk tempatan atau bekerja dalam pekerjaan yang sukar dilakukan masyarakat setempat.

Mereka yang menepati kriteria boleh memilih untuk menerima wang insentif secara sekali gus atau ansuran bulanan. 

Cadangan untuk perniagaan yang boleh ditubuhkan termasuk hotel, rumah penginapan, restoran serta kedai. – AGENSI