SHAH ALAM – “Hantaran pagi tadi tiada kaitan apa-apa. Hanya petikan kata-kata biasa sahaja.”
Demikian kata pelakon Nur Fazura berhubung hantaran dalam Instagram yang dibuat pada subuh.
Tidak mahu mengulas panjang, Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, turut memberitahu, petikan tersebut sengaja dimuat naik tanpa sebarang tujuan.
Ditanya mengenai spekulasi negatif yang bertebaran mengenai rumah tangganya, pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu enggan membuka mulut buat masa ini.
“Saya tidak mahu komen dulu,” ujarnya pendek.
Hari ini, Fazura hadir ke Mahkamah Rendah Syariah, Petaling, Subang Bestari, Shah Alam menggayakan baju berona merah jambu senada dengan beg tangan jenama mewah sambil diiringi lima orang pengawal peribadi dan pengurus peribadi iaitu Iman Tang.
Malah, turut kelihatan kelibat abangnya iaitu Faiz yang menemaninya ke mahkamah pada hari ini.
Pagi tadi, ibu kepada seorang cahaya mata itu memuat naik petikan tentang keyakinan terhadap setiap perkara yang berlaku.
Dia turut memuat naik petikan mengenai menerima segala perkara yang berlaku dalam hidup meskipun bukan seperti yang diinginkan.
Sebelum ini, Fattah atau nama lengkapnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 33, belum bersedia menceraikan isterinya itu ketika prosiding pertama pada 25 September lalu.
Ketika prosiding sama, Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, pula nekad mahu berpisah demi maruahnya sebagai wamita serta kesejahteraan hidup anak tunggalnya, Nur Fatima Aisya.
Terdahulu, pada 13 September lalu, Fazura mengejutkan ramai apabila memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dengan dikurniakan Nur Fatima yang kini berusia 4 tahun. – https://amiminerals.org/
View this post on Instagram