Usia baru 18 tahun, sudah takluki 14 gunung tertinggi dunia

NIMA

NIMA (depan) mendaki Gunung Everest, Mei lalu. – Foto AFP

KATHMANDU – Seorang remaja Nepal memecahkan rekod dunia sebagai pendaki gunung termuda yang menjejakkan kaki di 14 puncak tertinggi dunia, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) kelmarin.

Nima Rinji Sherpa yang berusia 18 tahun berjaya menjejakkan kaki di puncak Gunung Shishapangma, Tibet kira-kira pukul 6:05 pagi (waktu tempatan) pada Rabu lepas.

Susulan kejayaan tersebut, Nima tergolong dalam sejumlah kecil pendaki yang pernah menawan semua 14 gunung tertinggi  yang diiktiraf Persekutuan Pergunungan dan Pendakian Antarabangsa (UIAA) kerana mempunyai ketinggian lebih 8,000 meter dari aras laut.

Nima mula mendaki gunung pada usia 16 tahun dan berjaya mendaki kesemua 14 puncak tersebut yang terletak di Banjaran Himalaya serta Karakoram dalam masa 740 hari.

Dia juga pendaki termuda di dunia yang telah mendaki gunung G1 di Himalaya, Nanga Parbat di Kashmir dan pernah menawan Gunung Everest dan Gunung Lhotse dalam masa 10 jam.

“Puncak ini bukan sekadar kemuncak perjalanan peribadi saya tetapi penghormatan kepada setiap Sherpa (maling gunung).

“Mendaki gunung adalah lebih daripada pekerjaan. Ia adalah bukti kekuatan, ketabahan dan semangat kami,”kata Nima sejurus selepas mendaki Gunung Shishapangma.

Pada kebiasaannya, perkataan Sherpa digunakan untuk menggambarkan seseorang yang menjadi pemandu arah gunung atau pekerja di kawasan Everest, namun, ia sebenarnya adalah nama untuk kumpulan etnik yang tinggal di kawasan pergunungan Nepal.

Nima berkata, dia mahu membuktikan kepada generasi muda Sherpa bahawa mereka bukan hanya menjadi pekerja kepada pendaki tetapi boleh menjadi atlet, pengembara dan pereka.

Dia yang berasal daripada keluarga pendaki gunung kini mengendalikan syarikat ekspedisi mendaki gunung terbesar di Nepal, Seven Summits. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *