BERLIN – Gelaran juara Liga Negara-Negara Eropah (UNL) dianggap cukup penting buat ketua jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann menjelang aksi separuh akhir menentang Portugal di Allianz Arena awal pagi esok.
Beliau menganggap sekiranya mereka memenangi trofi tersebut, ia mampu memberi lebih keyakinan kepada barisan pemainnya menjelang kempen Piala Dunia 2026, sama seperti yang berlaku kepada Sepanyol sebelum ini.
Nagelsmann berkata, walaupun ramai pihak menganggap saingan UNL merupakan kejohanan kecil, namun ia membawa makna cukup besar buat beliau dan pemain-pemain Die Mannschaft kerana mampu menaikkan motivasi.
“Sasaran kami adalah untuk memenangi Liga Negara-Negara, jadi semua pemain perlu memberikan segala-galanya bagi mendapatkan keputusan yang diharapkan. Walaupun ia ‘kecil’ tetapi kami tetap anggapnya penting.
“Sepanyol membuktikan pertandingan ini penting apabila mereka berjaya memenangi saingan Euro 2024 selepas mereka menjulang trofi Liga Negara-Negara. Sebab itu saya katakan ia pertandingan yang penting,”katanya.
Jerman pastinya mahu memanfaatkan aksi di laman sendiri dengan memastikan kemenangan dan mara ke perlawanan akhir, lebih-lebih lagi pemain-pemainnya berada dalam keadaan cukup bersedia ketika ini.
“Apabila saya melihat wajah pemain-pemain, mereka sangat teruja dan bermotivasi. Saya juga tidak sabar untuk melihat suasana dalam stadium nanti kerana kami akan bermain di laman sendiri,”ujar Nagelsmann. – AGENSI