LONDON – England melakar kemenangan bergaya 5-0 ke atas Ireland dalam aksi terakhir Liga Negara-Negara Eropah (UNL), sekali gus memastikan kepulangan mereka ke divisyen utama, Liga A.
Perlawanan itu menjadi kemuncak sempurna bagi pengurus interim, Lee Carsley yang berjaya membimbing skuad The Three Lions dengan cemerlang sebelum menyerahkan tugas kepada Thomas Tuchel.
Babak pertama menyaksikan ketahanan luar biasa dari Ireland, namun England menunjukkan dominasi penuh selepas rehat dengan penalti Harry Kane membuka tirai jaringan, sebelum gol Anthony Gordon dan tolakan mudah Conor Gallagher dalam tempoh lima minit menghancurkan pertahanan lawan.
Pemain gantian Jarrod Bowen menambah gol keempat melalui rembatan cantik dari luar kotak penalti, diikuti tandukan Taylor Harwood-Bellis yang melengkapkan pesta gol sekali gus meraikan gol sulungnya di pentas antarabangsa.
Carsley yang memenangi lima daripada enam perlawanan sebagai pengurus interim, meluahkan kepuasannya terhadap prestasi pemain selepas England menamatkan saingan di tangga teratas Kumpulan B2 dengan 15 mata, mengatasi Greece berdasarkan rekod pertemuan.
“Ia hari yang luar biasa untuk pasukan. Fokus utama adalah memastikan kenaikan liga, dan saya bangga melihat pendekatan agresif mereka sepanjang kejohanan,”katanya.
Sementara itu, Harry Kane telah meledak gol ke-69 bersama skuad kebangsaan, sementara empat lagi penjaring mencipta sejarah apabila menjaringkan gol pertama mereka bersama skuad senior. – AFP