Undang-undang terlalu keras timbulkan salah guna kuasa – Anwar

Anwar 3

Anwar disambut orang ramai ketika menghadiri Sambutan Jubli Perak Hari Suhakam Ke-25 di KL Sentral, hari ini. – Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan undang-undang yang terlalu keras akan menimbulkan masalah lain iaitu salah guna kuasa.

Kata beliau, masyarakat sekarang lebih matang dan mengerti undang-undang perlu untuk mempertahankan keselamatan negara, tetapi harus ada jaminan hak asasi rakyat tidak terjejas.

“Kita perlu faham undang-undang kalau terlalu keras akan timbulkan masalah lain iaitu salah guna kuasa seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). ISA masa dibentangkan dianggap baik sebab ketika itu melawan komunis militan.

“Tetapi lambat laun pimpinan persatuan pekerja, mahasiswa, politik semua dihumban di bawah ISA di (kem tahanan) Kamunting,”katanya pada Sambutan Jubli Perak Hari Suhakam Ke-25 di KL Sentral, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Pengerusi Suhakam, Datuk Seri Mohd. Hishamudin Yunus.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut hadir pada sambutan bertemakan 25 Tahun Memperjuangkan Hak Asasi Manusia dan Keadilan Untuk Semua tersebut.

Anwar berkata, undang-undang terlalu longgar pula akan menimbulkan kemungkinan mana-mana tokoh politik mengambil kesempatan dalam mempertahankan kedudukan.

Kata beliau, sebagai contoh dalam isu pendakwaan melibatkan serangan atau singgungan terhadap raja-raja.

“Sekiranya kecaman dibuat yang akan menjejaskan tunggak Perlembagaan Negara, tentunya tindakan harus diambil. Ganggu gugat dari segi politik biasa, tetapi mengancam tunggak kestabilan dan keamaan dengan menghasut.

“Nak bicara soal agama, kaum, tak puas hati, nak bantah diizinkan. Yang tidak dizinkan hasutan ajakan ke arah keganasan atau menimbulkan pergaduhan.

“Walau apa alasan, walau saya diserang media antarabangsa, saya tidak akan tolak ansur untuk menjamin soal keselamatan rakyat dan negara ini,”katanya.

Terdahulu Perdana Menteri menegaskan, negara boleh menjadi porak peranda sekiranya kebebasan hak tidak dikawal dengan undang-undang sedia.

Katanya, rakyat bagaimanapun perlu memahami bahawa tidak ada batas, sekatan atau undang-undang yang mengekang hak mereka sebagai rakyat.

“Mana-mana kerajaan tentunya mewajarkan mereka mempertimbangkan soal keamanan dalam isu tersebut,”katanya. – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *