UM didik komuniti hasil bahan organik tanaman

WhatsApp Image 2024 09 08 at 6.46.49 PM 1 1

ROSAZLIN (kanan) bergambar bersama warga UM dan komuniti Sungai Keroh Mutiara Magna di Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini.

UMUM mengetahui bahawa tanah merupakan medium utama untuk tumbuhan.

Di Malaysia, komuniti menghadapi masalah untuk menghasilkan sayuran berkualiti kerana faktor tanah yang kurang subur.

Ini kerana, negara berada di kawasan iklim khatulistiwa, sekaligus menyebabkan kebanyakan tanah berasid dan kurang subur.

Oleh itu, Universiti Malaya (UM) telah menjalankan projek yang dikenali sebagai Strategi Menjamin Pencapaian Sekuriti Makanan Melalui Transformasi Sisa Kebun Kepada Biochar-Kompos (KOMBI) Untuk Meningkatkan Produktiviti Tanaman.

Projek ini dilaksanakan melalui geran daripada  Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) untuk mencapai teras utama iaitu bekerjasama dengan komuniti tempatan dalam menyediakan penyelesaian tempatan dan menyetempatkan Matlamat Pembangunan Mampan SDGs di kalangan komuniti.

Prof. Madya Dr. Rosazlin Abdullah daripada Institut Sains Biologi, Fakulti Sains UM berkata,
melalui projek tersebut peserta dapat mendapat pendedahan dalam pengurusan sisa kebun dan kepentingan bahan organik untuk dijadikan bahan organik untuk nutrien tanaman.

WhatsApp Image 2024 09 08 at 6.46.44 PM 1 1
SALAH seorang pekebun menghasilkan bahan organik daripada biochar dan kompos.

Menurutnya, peserta didedahkan untuk menghasilkan sisa pertanian yang terhasil daripada aktiviti kebun akan digunakan semula untuk menjadi bahan organik iaitu gabungan biochar dengan kompos yang dikenali sebagai KOMBI.

“KOMBI adalah inovasi terkini yang sangat bernilai dalam inovasi bahan organik.

“Penghasilan biochar dan kompos daripada sisa kebun sedia ada adalah strategi yang amat baik untuk memastikan pengurusan kebun yang lebih teratur dan kemas seterusnya menjadi salah satu strategi dalam menjamin pencapaian keselamatan makanan di Malaysia,” katanya.

Biochar adalah arang hitam yang terhasil daripada pembakaran sisa pertanian yang sangat kaya dengan karbon dan dihasilkan di dalam keadaan oksigen tertutup.

Manakala kompos adalah bahan organik yang telah dihasilkan melalui proses penguraian di dalam tempoh tertentu mengikut kepada teknik yang diamalkan.

Sifat-sifat biochar adalah sangat unik berbanding bahan organik yang lain kerana ia mengandungi karbon yang tinggi, boleh menjadi menyimpan nutrien, menyimpan mikroorganism, memegang air dan sebagainya.

Manakala kompos adalah bahan organik yang mempunyai bahan organik yang mengandungi nutrien dan mikrob.

Kombinasi biochar dan kompos yang dikenali sebagai KOMBI adalah bahan organik premium yang mempunyai nilai tambah yang lebih berkualiti.

WhatsApp Image 2024 09 08 at 6.46.48 PM 1
PEKEBUN menunjukkan hasil tanaman terhasil dengan menggunakan KOMBI.

Rosazlin menjelaskan, melalui program itu juga peserta dapat menghasilkan KOMBI untuk kebun sendiri untuk kegunaan sendiri atau dijual.

“Daripada aktiviti yang dijalankan, para peserta mendapat kesedaran bahawa berkebun bukan semata-mata menghasilkan tanaman dan mengamalkan pertanian baik untuk kelestarian tanaman.

“Malah, daripada aktiviti ini, para peserta sangat teruja tentang pengetahuan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) di mana impak aktiviti berkebun dan teknik yang diamalkan dapat menyumbang kepada SDGs,” jelasnya.

WhatsApp Image 2024 09 08 at 6.46.46 PM 1 1
KOMUNITI dilibatkan untuk menghasilkan bahan organik tanaman.

Tambahnya, oleh itu, pembelajaran dan sokongan menggunakan teknik komunikasi yang mudah difahami oleh peserta amat penting untuk pemahaman yang lebih jelas.

Sementara itu, salah seorang peserta projek yang juga Pengerusi Persatuan Kebun Komuniti Sungai Keroh Mutiara Makna di Kepong, Kuala Lumpur, Zuredisham Zulkefli, 53 menjelaskan, dia telah menghasilkan KOMBI sendiri setelah mengikuti beberapa sisi bengkel yang telah diadakan oleh pihak UM.

Menurutnya, dia telah menggunakan kaedah tersebut untuk penanam sayur-sayuran di kebun tersebut.

“Kami mencuba menggunakan KOMBI untuk tanaman sayur-sayuran dan melalui aplikasi ini tanaman lebih subur dan hasilnya juga baik.

“Selama ini kami mengamalkan tanaman secara organik dengan membeli bahan organik di kedai, tetapi melalui ilmu yang dikongsi oleh pihak UM membantu kami untuk menghasilkan KOMBI sendiri, secara tidak langsung is mengurangkan kos operasi kebun dan juga menbantu kami untuk menguruskan sisa kebun lebih teratur” terangnya. -KOSMO!ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *