NEW DELHI – Seekor ular sawa Burma berukuran lima meter panjang dan seberat hampir 100 kilogram ditangkap berhampiran sebuah asrama perempuan di Universiti Assam, India, lapor laman berita The Indian Express kelmarin.
Dianggap sebagai reptilia terbesar pernah ditemui dalam habitat manusia di wilayah Lembah Barak, ia mencetuskan panik apabila pertama kali dikesan sekitar pukul 10.30 malam (waktu tempatan) baru-baru ini.
Seorang penyelidik hidupan liar dan pemuliharaan, Bishal Sonar mengetuai operasi untuk menangkap reptilia tersebut dengan bantuan daripada seorang anggota penyelamat, Trikal Chakraborty.
Bishal menyifatkan reptilia itu berkemungkinan ular paling berat pernah direkodkan di wilayah tersebut dan terbesar pernah ditemui sepanjang kerjayanya.
“Bersama-sama dengan pegawai-pegawai hutan dan kerjasama daripada pelajar, ia berjaya ditangkap,”kata Trikal kepada pemberita.
Ular sawa itu kemudian dihantar ke Santuari Hidupan Liar Barail, Chachar. – AGENSI