KLANG – Fenomena air laut pasang besar hari ini bukan sahaja menyebabkan jalan utama di sekitar Pelabuhan Klang dan Jeti Pulau Ketam tenggelam dinaiki air malah ‘memunculkan’ ular berbisa.
Limpahan air bermula pukul 6.30 pagi tadi dengan paras air pasang dilaporkan setinggi 5.8 meter.
Seorang peniaga kedai makan, Anisha, 60, berkata, dia membuka lewat perniagaan susulan limpahan air masuk premisnya.
Katanya, dia menunggu sehingga pukul 9 pagi ini untuk membuka kedainya.
“Semalam masih boleh buka awal tetapi hari ini kita tunggu dulu antara pukul 8 hingga 9 pagi ini.
“Lagipun, hari ini air naik lebih tinggi sampai ular berbisa pun muncul, mujur sempat tangkap,”katanya hari ini.
Sementara itu, petugas di jeti Pulau Ketam memaklumkan operasi feri bagi perjalanan ke Pulau Ketam tetap berjalan seperti biasa.
“Semalam naik dan juga melimpah sehingga ke jalan raya, tetapi ketinggiannya cuma 5.7 meter. Hari ini naik lebih tinggi,”ujarnya.
Tinjauan turut mendapati bahu jalan dan laluan pejalan kaki dinaiki ditenggelami air kira-kira 0.3 meter. – https://amiminerals.org/