Ukraine boleh guna misil jarak jauh Amerika bedil Russia

Cover Ukraine11111 scaled

.GAMBAR fail menunjukkan senjata ATACMS milik tentera AS. – Foto AFP

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi kuasa kepada Ukraine untuk menggunakan peluru berpandu jarak jauh milik Amerika untuk melancarkan serangan terhad ke dalam wilayah Russia, lapor akhbar Washington Post kelmarin.

Dua pegawai kanan Washington berkata, kebenaran tu adalah tindak balas kepada langkah Korea Utara menghantar beribu-ribu askarnya untuk berperang menentang Kyiv.

Kebenaran untuk Ukraine menggunakan misil jarak jauh dikenali sebagai Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera (ATACMS) untuk membedil wilayah Russia adalah perubahan ketara dalam dasar Amerika.

ATACMS ialah sistem peluru berpandu supersonik yang boleh dipasang sama ada secara berkelompok bersama peledak konvensional, dengan jarak sasaran maksimum kira-kira 305.77 kilometer.

Selama berbulan-bulan, Ukraine telah meminta kebenaran AS untuk menggunakan peluru berpandu itu untuk membedil wilayah Russia dengan alasan, senjata tersebut akan membolehkan tentera Kyiv menyerang jauh ke dalam negara musuh.

Perubahan dasar Biden itu dibuat selepas kira-kira 10,000 anggota tentera elit Korea Utara dihantar ke Kursk, wilayah Russia yang terletak di utara sempadan Ukraine.

Askar Pyongyang digunakan untuk membantu Moscow merampas semula wilayah yang dikuasai oleh Ukraine itu.

Pentadbiran Biden kini bimbang lebih banyak unit pasukan khas Korea Utara akan dikerah untuk menyokong usaha Russia tersebut.

Langkah membenarkan Kyiv menggunakan sistem ATACMS diumumkan dua bulan sebelum bakal Presiden AS, Donald Trump kembali ke White House.

Trump sebelum ini memberi isyarat jelas bahawa beliau mahu menamatkan perang antara Russia dan Ukraine walaupun tidak memberikan butiran bagaimana usaha tersebut dapat dicapai.

Seorang pegawai AS berkata, penggunaan misil jarak jauh itu bertujuan menghalang Pyongyang daripada menghantar lebih ramai askar ke Russia.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un perlu memahami bahawa penempatan awal tenteranya telah menjadi satu kesilapan yang ‘mahal’, kata pegawai tersebut yang enggan identitinya didedahkan.

Usaha awal Ukraine itu dijangka memberi tumpuan kepada atau sekitar wilayah Kursk, walaupun ia boleh diperluaskan, demikian menurut pegawai sama dan sumber lain yang mengetahui tentang perkara tersebut.

“Jika berita tentang peralihan dasar Biden ini benar, ia memberi manfaat kepada Ukraine. Ia membolehkan Ukraine mempertahankan wilayah yang kini didudukinya, Kursk.

“ATACMS akan membantu mengimbangi kelebihan dinikmati Russia yang menggunakan tentera Korea Utara,” kata Michael Kofman selaku pakar ketenteraan Russia dan Ukraine bersama pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan Carnegie untuk Keamanan Antarabangsa.

Keizinan itu diberikan selepas pentadbiran Biden menentang Ukraine menggunakan ATACMS untuk membedil sasaran dalam Russia selama berbulan-bulan sebelum ini.

Namun, langkah AS itu berisiko selepas pegawai-pegawai kanan AS berulang kali menyatakan kebimbangan bahawa Moscow boleh melakukan tindak balas bukan hanya menyasarkan Ukraine tetapi seluruh dunia.

Presiden Russia, Vladimir Putin menganggap penggunaan ATACMS sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.

Pada September lalu, beliau mengisytiharkan bahawa serangan peluru berpandu Ukraine ke wilayah Russia yang mungkin melibatkan bantuan AS mengubah sifat konflik dengan memberi amaran bahawa negaranya akan melancarkan tindak balas. – AGENSI