WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) dan Ukraine menandatangani perjanjian perkongsian ekonomi yang akan memberikan Washington akses kepada mineral nadir bumi milik Kyiv, lapor saluran berita CNN semalam.
Presiden Donald Trump sejak kembali ke White House Januari lalu menuntut hak ke atas kekayaan mineral Ukraine.
Ia disifatkan sebagai pampasan untuk senjata AS yang dihantar di bawah pentadbiran bekas presiden Joe Biden dalam perang Ukraine dengan Russia.
Meskipun menolak cadangan itu pada awalnya, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky akhirnya menerima perjanjian mineral sebagai cara untuk mendapatkan pelaburan jangka panjang oleh AS.
Ia berlaku ketika Trump mengurangkan secara drastik komitmen keselamatan Washington di seluruh dunia.
“Seperti yang Presiden (Trump) katakan, AS komited untuk membantu memudahkan penamatan perang kejam dan tidak masuk akal ini,” kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent.
“Perjanjian ini memberi isyarat dengan jelas kepada Russia bahawa pentadbiran Trump komited kepada proses damai yang berpusat pada Ukraine yang bebas, berdaulat dan makmur bagi jangka panjang.
Menteri Ekonomi Ukraine, Yulia Svyrydenko berada di Washington untuk menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak Kyiv.
Antara syarat utama perjanjian itu adalah pemilikan dan kawalan penuh ke atas mineral adalah kekal milik Ukraine, demikian menurut hantaran Svyrydenko di aplikasi X semalam.
“Semua sumber di wilayah dan perairan kami adalah milik Ukraine.
“Ukraine akan menentukan apa dan di mana untuk mengekstrak (mineral). Ia kekal di bawah pemilikan Ukraine, dan ini jelas diwujudkan dalam perjanjian,” katanya. – AGENSI