MOSCOW – Presiden Russia, Vladimir Putin mengeluarkan amaran keras kepada Barat dengan melancarkan ujian peluru berpandu hipersonik di timur Mediterranean sekali gus meningkatkan ketegangan ancaman perang berskala besar di Eropah, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.
Satu rakaman video memaparkan tentera Russia melancarkan ujian peluru berpandu hipersonik Tsirkon berkelajuan 11,104 kilometer sejam ke timur Mediterranean, yang merupakan destinasi percutian kegemaran di Eropah.
Peluru berpandu tersebut dilancarkan bagi menunjukkan kekuatan Moscow kepada Barat yang mempunyai senjata yang bergerak jauh dari Russia.
Tindakan terbaharu itu dilakukan di tengah-tengah ketegangan meningkat dengan kemaraan kumpulan pemberontak di Syria ketika Putin memberi sokongan kepada pemimpinnya, Bashar al-Assad.
Ia juga berlaku ketika konflik di Ukraine semakin sukar ditangani dengan lebih banyak kuasa asing turut campur tangan.
Peluru berpandu itu telah dilancarkan oleh kapal frigat moden, Admiral Gorshkov dan Admiral Golovko.
Menurut laporan rangkaian televisyen Russia, Zvezda, kedua-dua kapal perang itu beroperasi sebagai sebahagian daripada kumpulan penyerang tentera laut negara tersebut.
Kapal selam diesel-elektrik, Novorossiysk milik Russia turut melancarkan peluru berpandu kruz, Kalibr pada kedudukan sasaran maritim.
Menurut Kementerian Pertahanan Russia, semua pelancaran itu adalah sebahagian daripada latihan ketenteraan yang melibatkan lebih 1,000 askar, 10 buah kapal, 24 buah pesawat, termasuk MiG-31I yang bersenjatakan peluru berpandu hipersonik Kinzhal.
Sistem peluru berpandu pantai Bastion, turut terlibat dalam latihan itu, lapor Zvezda.
“Latihan di Mediterranean Timur dijalankan mengikut undang-undang antarabangsa semasa dan perjanjian antara Persekutuan Russia dengan negara asing mengenai pencegahan insiden di laut luar perairan wilayah serta ruang udara,” kata kementerian berkenaan. – AGENSI