Tutup muka semasa protes akan diharamkan

000 369J8L4

PENUNJUK perasaan menutup muka di Liverpool pada 3 Ogos lalu. – AFP

LONDON – Perbuatan menutup muka dalam kalangan penunjuk perasaan akan diharamkan selepas perusuh-perusuh yang memakai topeng mencetuskan rusuhan teruk di Britain, lapor akhbar The Sun UK semalam.

Sumber berkata, menteri akan bekerjasama dengan Kolej Kepolisan, iaitu sebuah badan profesional untuk polis England dan Wales, bagi mewujudkan panduan dalam memastikan individu yang tidak bersalah tidak terjejas dalam rusuhan.

Bekas detektif ibu pejabat Polis Metropolitan atau Scotland Yard, Peter Bleksley berkata, peraturan itu sangat diperlukan dan sudah lama ia tertangguh.

“Anda tidak sepatutnya melakukan protes dengan memakai topeng kemudian membaling batu. Hanya pengecut yang memakai topeng dalam situasi itu,” katanya.

Menteri Kepolisan, Dame Diana Johnson menulis dalam akhbar The Sun UK bahawa beliau membayangkan tindakan keras akan diambil terhadap pemakai topeng dan individu yang melempar mercun semasa tunjuk perasaan.

“Jangan katakan bahawa individu yang datang dengan bersenjatakan suar, mercun dan bom petrol berada di situ untuk melakukan bantahan.

“Jangan katakan bahawa seseorang yang berada dalam khalayak ramai atas sebab-sebab keamanan, tetapi memakai topeng untuk mengelak daripada dikenal pasti atau menghayun kayu atau tiang,” ujar Johnson.

Perkembangan itu berlaku selepas pergolakan tercetus di pekan-pekan dan bandar-bandar seluruh England minggu lalu, berikutan pembunuhan tiga kanak-kanak di Southport.

Kerajaan terdahulu merancang untuk memenjarakan atau mendenda penunjuk perasaan sebanyak £1,000 (RM5,636) jika mereka cuba menyembunyikan identiti menggunakan topeng selepas perarakan pro-Palestin.

Ia juga merancang untuk mengharamkan suar dan mercun semasa protes, namun semua undang-undang itu digugurkan sebelum pilihan raya. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *