Trump menang sokongan pengundi Arab Amerika

COVER Arab Amerika scaled

Trump (kiri) mendahului Harris sebanyak dua mata dari segi sokongan penduduk berketurunan Arab di AS. – AFP

RIYADH – Satu kaji selidik mendapati 87 peratus penduduk berketurunan Arab Amerika akan turun mengundi pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat(AS) bulan depan, manakala Donald Trump mendahului sokongan mereka berbanding seteru beliau, Kamala Harris.

Kaji selidik tersebut dijalankan oleh firma penyelidikan YouGov di bawah anjuran Unit Penyelidikan & Kajian akhbar Arab News berpangkalan di Riyadh.

Ia melibatkan 500 responden penduduk Arab Amerika di seluruh AS dari 26 September hingga 1 Oktober lalu.

Hasil kaji selidik, antara lain mendapati bahawa isu Palestin menjadi keutamaan komuniti tersebut. Ini diikuti isu ekonomi dan peningkatan kos sara hidup di Amerika di samping masalah perkauman serta diskriminasi.

Dari segi sokongan pula, Trump daripada Parti Republikan mendahului dengan 45 peratus berbanding 43 peratus memilih Harris yang mewakili Parti Demokrat.

Masyarakat Arab Amerika melihat calon Parti Republikan itu lebih berpotensi untuk berjaya menyelesaikan konflik Palestin-Israel dengan mendahului 39 peratus undian berbanding 33 peratus responden memilih Harris.

Tambah tinjauan sama, meskipun Trump dianggap lebih lantang menyokong Israel berbanding Harris, ramai penduduk Arab Amerika menyatakan akan mengundinya meskipun mengaku menyokong parti politik Harris, Parti Demokrat.

Keputusan tersebut menunjukkan mereka mahu menghukum pentadbiran Presiden Joe Biden atas kegagalan beliau mencegah kempen ketenteraan Israel yang memusnahkan Semenanjung Gaza dan Lebanon.

“Angka kaji selidik ini sangat ketara. Ia menunjukkan bahawa apa yang berlaku di Asia Barat tidak hanya kekal di rantau itu.

“Walaupun kebanyakan penduduk di negara-negara Arab mungkin bersikap acuh tidak acuh dan tidak mempunyai sebarang pendapat tentang calon mana yang akan menang pada pilihan raya Presiden AS nanti, jelas pengundi Arab di Amerika mementingkan isu pengendalian krisis Gaza sejak ia meletus pada Oktober tahun lalu,” kata Ketua Pengarang Arab News, Faisal J. Abbas.

Orang Arab Amerika merangkumi hanya satu peratus daripada keseluruhan pengundi di AS tetapi menurut felo kanan Institut Asia Barat di Washington, Firas Maksad, undi mereka adalah penting tahun ini kerana persaingan di kebanyakan negeri adalah begitu sengit.

“Margin kemenangan adalah 0.5 peratus, justeru ia menjadikan undian orang Arab Amerika sesuatu yang penting,” jelasnya.

Kaji selidik itu selari dengan keputusan tinjauan pendapat pada Mei lalu oleh Institut Arab Amerika (AAI), menunjukkan bahawa Parti Demokrat hilang sokongan dalam kalangan komuniti Arab Amerika.

Ia disebabkan oleh cara pengendalian Biden terhadap konflik di Gaza. Malah, sokongan terhadap beliau dalam kalangan masyarakat AS hanya sekitar 20 peratus pada masa itu.

Dalam satu webinar yang mendedahkan penemuan tinjauan pendapat AAI, Presidennya, James Zogby berkata, orang Arab Amerika masih marah atas keperitan penduduk Gaza dan mereka belum bersedia untuk melupakannya.

Selain itu, medan persaingan di Michigan iaitu negeri yang mempunyai komuniti besar Arab Amerika telah menjadi tumpuan kedua-dua Trump dan Harris.

Menurut pemantauan agensi berita Associated Press, bagi setiap acara awam kempen pilihan raya, Trump telah mengadakan 15 acara di Michigan sejak April lalu.

Sementara itu, Harris melawat negeri itu sebanyak 11 kali sejak beliau menjadi calon Parti Demokrat. – AGENSI