Trump dan hala tuju Asia Barat

Cover Pilih3 scaled

ISRAEL lancar serangan udara di Beirut, Lebanon kelmarin. – AFP

WASHINGTON – Kembalinya calon Parti Republikan, Donald Trump ke White House pada Januari 2025 dijangka membawa implikasi mendalam kepada masa depan dasar luar Washington di Asia Barat, lapor portal be­rita Arab News kelmarin.

Selepas 13 bulan perang di Semenanjung Gaza berlarutan dan semakin memuncak, timbul ba­nyak persoalan tentang cara Washington menangani masalah di wilayah Palestin itu apabila pentadbiran bertukar tangan.

Sejarah menunjukkan Trump adalah pembuat keputusan yang sukar diramalkan, manakala beliau pula berdepan krisis yang bukannya mudah untuk diselesaikan.

Namun, banyak perkara boleh dilihat semasa penggal pertama pemerintahan beliau iaitu dari tahun 2017 hingga Januari 2021.

Trump membentuk Perjanjian Abraham, Pe­lan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), tekanan maksimum ke atas Iran, pembunuhan pemimpin Pasukan Quds Iran, Qassem Soleimani dan pengiktirafan kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan Syria.

Trump mengetepikan bantahan umat Islam dengan memindahkan ke­dutaan Amerika Syarikat (AS) ke Baitulmuqaddis, me­ningkatkan jualan senjata kepada Arab Saudi, memejamkan mata terhadap pembunuhan pengkritik keluarga diraja Saudi, Jamal Khashoggi dan membuat beberapa keputusan kontroversi lain.

Beliau akan berdepan realiti baharu di rantau Asia Barat yang banyak berubah sejak ‘peninggalannya’ tetapi akan kembali ke Oval Office di White House pada 20 Januari 2025.

Pada masa sama, pentadbiran Presiden Joe Biden didapati mengekalkan banyak kesinambungan dalam dasar luar AS di Asia Barat sejak mengambil alih jawatan daripada Trump.

Walaupun Biden mengecam Trump kerana mensabotaj JCPOA pada Mei 2018 dan menganggap­nya sebagai ‘silap besar dan krisis yang tidak perlu’, Biden tidak mengambil langkah untuk me­nyusun semula perjanjian nuklear dengan Iran.

Beliau juga tidak membatalkan keputusan Trump memindahkan kedutaan AS ke Baitulmuqaddis dan kekal mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan.

Biden juga menyalurkan sejumlah besar tenaga diplomatik dalam usaha membina warisan Perjanjian Abraham dengan cuba membawa lebih banyak negara Arab ke dalam kem normalisasi Israel.

“Kita tidak mungkin melihat perubahan ‘dasar’, sebaliknya dalam gaya. Perlu diingatkan bahawa walaupun Biden mengkritik tindakan Trump, beliau tidak mengubah dasar luar AS terhadap Asia Barat.

“Biden hanya menyambung legasi Trump untuk menggantikan undang-undang antarabangsa dengan dekri AS dan kita boleh melihat Trump akan menyambung pula usaha tersebut, namun dengan cara lebih agresif dan eks­plisit,” kata pakar politik Universiti Columbia, Dr. Marina Calculi dalam wawancara bersama The New Arab (TNA).

Bercakap kepada TNA sembilan hari sebelum Pilihan Raya Presiden AS, pakar hubungan antarabangsa Universiti Hamad Bin Khalifa, Profesor Madya Dr. Steven Wright berkata: “Trump mungkin meletakkan dirinya sebagai broker perjanjian.

“Saya percaya persoalan utama bukan siapa yang menang tetapi seberapa cepat pentadbiran seterusnya boleh membangunkan dasar serantau yang berkesan.

“Trump sudah lama mengkritik penempatan tentera AS yang diperluaskan di Asia Barat dan menentang peningkatan ketenteraan besar yang boleh menarik AS ke dalam perang berskala penuh dengan Iran,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Demokrasi untuk Dunia Arab Kini (DAWN), Sarah Leah Whitson dalam temu bual dengan TNA berkata, Trump diharapkan akan bertindak pantas untuk menamatkan perang di Semenanjung Gaza.

“Seseorang hanya boleh berharap bahawa Trump akan me­nepati pengisytiharannya se­masa kempen (pilihan raya presiden) bahawa beliau akan bertindak pantas untuk menamatkan perang di Gaza yang hanya boleh dilakukan dengan memaksa Israel menghentikan pengeboman dan pengepungan ke atas penduduk Palestin,” katanya.–AGENSI