WASHINGTON – Presiden Donald Trump menyatakan bahawa Russia dan Ukraine akan segera memulakan rundingan gencatan senjata serta menamatkan perang, selepas mengadakan panggilan telefon selama dua jam bersama rakan sejawa beliau, Vladimir Putin, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Trump menyifatkan perbualan dengan Presiden Russia itu berjalan sangat baik. Katanya, syarat untuk keamanan perlu dirundingkan segera antara kedua-dua belah pihak.
Putin berkata, beliau bersedia untuk bekerjasama dengan Ukraine dalam ‘memorandum mengenai kemungkinan perjanjian damai masa depan’.
Meskipun Trump kelihatan optimis, beliau yang turut bercakap dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menambah, sebarang gencatan senjata atau perjanjian damai tidak akan dicapai dalam masa terdekat.
Selain itu, tiada petunjuk tentang bila rundingan damai itu akan diadakan, manakala Putin tidak menjawab mengenai tuntutan AS dan negara-negara Eropah untuk melaksanakan gencatan senjata 30 hari tanpa syarat.
“Russia dan Ukraine akan segera memulakan rundingan ke arah gencatan senjata dan yang lebih penting, menamatkan perang,” kata Trump di laman Truth Social.
“Syarat untuk itu akan dirundingkan antara kedua-dua belah pihak kerana hanya mereka mengetahui butiran rundingan yang tidak diketahui oleh orang lain,” tambahnya.
Zelensky pula berkata, proses rundingan mesti melibatkan kedua-dua wakil Amerika dan Eropah pada tahap yang sesuai. – AGENSI