LOS ANGELES, California – Nahas sebuah treler yang membebaskan 250 juta ekor lebah mencetuskan amaran di barat Amerika Syarikat, dengan polis memberitahu orang ramai supaya mengelak serangga menyengat tersebut.
Kemalangan itu berlaku di negeri Washington apabila sebuah treler membawa muatan sarang lebah terbalik.
“250 juta ekor lebah kini terlepas.
“Elakkan kawasan ini kerana risiko lebah terlepas dan berkerumun,” kata Syerif Whatcom County di laman media sosialnya.
Jalan-jalan di rantau itu, yang terletak dekat sempadan dengan Kanada telah ditutup ketika pakar-pakar lebah membantu melakukan kerja pembersihan.
Walaupun sesetengah penternak menternak lebah hanya untuk mendapatkan madu, ramai juga menyewakan sarang mereka kepada petani yang memerlukan serangga untuk mendebungakan tanaman. – AFP