Trak elektrik Tesla terbakar selepas langgar pokok

Tesla semi

SEBUAH trak elektrik Tesla terbakar selepas melanggar pokok di California Utara. – Foto KCRA

WASHINGTON – Sebuah trak elektrik Tesla melanggar beberapa batang pokok sehingga mencetuskan kebakaran besar di sebuah lebuh raya di California Utara, lapor portal berita Fox News semalam.

Kebakaran tersebut turut mengeluarkan asap toksik kerana bateri trak tanpa bahagian kontena itu terbakar dengan mencatatkan suhu setinggi 537 darjah Celsius. 

Menurut Pegawai Pasukan Lebuh Raya California, Jason Lyman, anggota-anggota bomba menggunakan beribu-ribu liter air dalam usaha mereka menyejukkan badan kenderaan tersebut kelmarin.

Katanya, asap beracun daripada bateri itu juga mendatangkan bahaya jika terhidu.

Bagaimanapun, pemandu trak itu dilaporkan selamat selepas berjaya keluar dari kenderaan tersebut, dan dia dihantar ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan.

Sebuah pesawat turut menggugurkan bahan pencegah kebakaran di kawasan sekitar untuk mengelakkan api daripada merebak ke kawasan lain.

Lyman berkata, kebakaran kenderaan elektrik merupakan perkara baharu dan pihak bomba masih belajar bagaimana cara untuk menghadapinya. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *