Tragedi berdarah di England, 9 kanak-kanak cedera, 2 mati ditikam

tikaman budak

Polis mengepung lokasi kejadian. – EPA

LONDON – Dua kanak-kanak terbunuh, manakala enam lagi kritikal selepas mereka  ditikam semasa menghadiri acara tarian bertemakan penyanyi popular, Taylor Swift di Southport, Merseyside, barat laut England,  lapor akhbar The Sun UK semalam.

Dua guru wanita yang cuba melindungi kanak-kanak tersebut juga dilaporkan kritikal akibat cedera.

Berpuluh-puluh kanak-kanak berkumpul untuk menyertai kelab percutian yoga dan tarian bertemakan Taylor Swift apabila serangan berlaku.

Poli berkata, mereka menahan suspek yang merupakan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun dari Banks, Lancashire.

Ketua Polis Merseyside, Konstabel Serena Kennedy berkata: “Hari ini (semalam), saya berada di sini untuk memaklumkan bahawa dua kanak-kanak meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam serangan bersenjatakan pisau pada pagi ini.

“Sembilan lagi kanak-kanak cedera, dan enam daripada mereka kritikal.”

Menurutnya,  anggota-anggota polis bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan mengenai kejadian itu  pukul 11.47 pagi (waktu tempatan) semalam.

“Sejurus tiba, mereka terkejut apabila mendapati terdapat ramai orang dengan kebanyakan mereka  kanak-kanak, telah diserang secara ganas dan mengalami kecederaan serius,” jelasnya.

Suspek dikatakan menyerang ketika keadaan huru-hara di bengkel tarian itu. Dia  memasuki premis berkenaan disebabkan pintu depannya dibiarkan terbuka.

Suspek dilaporkan masuk dari arah jalan raya dan mula menyerang kanak-kanak, manakala orang dewasa yang berada di dalam bilik itu cuba melindungi mereka.

Polis kemudian tiba dan menahan suspek serta merampas sebilah pisau. – AGENSI 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *